Isnin, 19 Jun 2017 | 8:42pm

Pelantikan Sulaiman tepat - Shahrir


Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada sidang media ketika Majlis Ihya Rahmat Ramadan Warga Felda Wilayah Segamat di Felda Tenang. - Foto NSTP/Adi Safri

LABIS: Pelantikan Tan Sri Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) amat tepat berikutan pengalamannya dalam kerajaan dan Felda itu sendiri.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata pelantikan Sulaiman tepat kerana dia bukan seorang yang asing kerana pernah berada dalam lembaga pengarah FELDA sebelum ini dan pernah menjadi Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negara.

"Jadi, ini bermakna seseorang yang ada pengalaman serta ada kaitan dengan FELDA, sekarang (dilantik) di peringkat lembaga pengarah FGV (kedudukan pemangku pengerusi).

"Dia (Sulaiman) dilantik sebagai Pemangku Pengerusi FGV menggantikan Tan Sri Isa Samad bagi memastikan kesinambungan antara pengerusi lama dan baharu dan pada masa sama membantu kepada suara Felda dan semangat FELDA itu akan dapat kita teruskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Ihya Rahmat Ramadan Warga FELDA 2017 di Masjid Felda Tenang di sini, hari ini.

Shahrir turut memuji usaha yang dilakukan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang dilantik sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kemelut FGV itu.

"Buat masa ini, apa yang dimandatkan kepada beliau (Idris) sudah pun dilaksanakan dengan baik. Peranannya dah tercapai, terhasil dan selesai (isu FGV). Saya rasa selepas ini, biar apa proses dalam syarikat FGV, biarlah FGV sendiri laksanakan dengan sebaik mungkin.

"Saya berharap pengerusi baharu bertanggungjawab laksana tugas-tugas dia dalam FGV terutama proses dalaman untuk menyiasat empat pegawai FGV sebagaimana yang kita ketahui. Kini terserah kembali kepada FGV itu sendiri," katanya.

Berita Harian X