Isnin, 19 Jun 2017 | 8:21pm

Pasangan OKU terlantar ceria dikunjungi Najib dan isteri


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (tengah) bersama Isteri Datin Seri Rosmah Mansor (dua dari kiri) ketika menziarahi Orang Kelainan Upaya (OKU), Osman Jusoh,77, dan isterinya Siti Zabedah Saidin, 69, dan menyampaikan sumbangan kepada pasangan tersebut di Kampung Pering hari ini. - Foto BERNAMA

KODIANG: Datuk Seri Najib Razak hari ini menziarahi sepasang suami isteri orang kelainan upaya (OKU) yang terlantar di rumah pasangan itu di Kampung Kodiang Luar, di sini.

Osman Jusof, 77 dan isteri, Siti Zabedah Saidin, 69, masing-masing terlantar kerana sakit tua mampu tersenyum ketika menerima kunjungan Najib serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pasangan itu kelihatan sedaya upaya cuba berinteraksi dengan Perdana Menteri dan isteri yang sampai kira-kira jam 6.30 petang dan beramah mesra dengan pasangan dikenali sebagai Pak Ngah Ani dan Mak Ngah Melah itu.

Sempena kunjungan itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga pasangan berkenaan.

Anak tunggal pasangan terbabit, Intan Zulina Osman, 31, berkata ibu bapanya memang kurang upaya sejak kecil.

"Saya dimaklumkan Perdana Menteri akan datang mengunjungi ibu bapa saya, saya tidak sangka Perdana Menteri sudi mengunjungi rumah kami, saya ada maklumkan kepada mak dan ayah, tetapi mereka kurang faham kerana tidak mampu mendengar," katanya.

Intan yang juga ibu tunggal kepada tiga anak orang anak berkata, beliau menyara kedua ibu bapanya dengan menjalankan perniagaan nasi lemak secara kecil-kecilan.

Katanya, keluarganya juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Berita Harian X