Ahad, 25 Jun 2017 - 8:15AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Urus niaga ASNB tanpa buku pelaburan

Oleh Haryani Ngah


KUALA LUMPUR: Pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan menikmati pelbagai kemudahan baharu apabila sistem operasi unit amanah itu selesai dinaik taraf pada 28 Jun ini.

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) baru-baru ini mengumumkan penangguhan sementara urus niaga ASB sehari pada 23 Jun ini berikutan migrasi unit amanah itu daripada Unit Trust System (UTS) kepada Fund Distribution System (FDS).

Antara kemudahan yang bakal dinikmati ialah capaian urus niaga yang lebih meluas apabila rangkaian cawangan ejen yang menawarkan ASB meningkat kepada 2,262 berikutan penyertaan Bank Simpanan Nasional (BSN), Ambank dan Affin Bank.

Penambahan ketiga-tiga bank ini adalah tambahan kepada ejen sedia ada terdiri daripada Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan Pos Malaysia.

Selain itu, ASNB juga memperkenalkan pilihan untuk pelabur berurusniaga tanpa buku pelaburan untuk semua transaksi unit amanah, termasuklah untuk jualan balik.

Hanya bawa kad pengenalan

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah  Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin, berkata ASNB akan menggunakan sistem pengesahan Biometrik MyKad sepenuhnya untuk pengesahan identiti pelabur.

"Pelabur juga akan diberi satu nombor akaun unik yang mempunyai 12 digit untuk pelaburan mereka dalam mana-mana unit amanah ASNB," katanya.

Nombor akaun 12 digit ini akan menjadi rujukan apabila pelabur berurusniaga dengan ASNB tidak kiralah untuk pelaburan dalam ASB, ASB2, ASM, ASN, ASN 2 atau unit amanah ASNB yang lain.

Berikutan itu, apabila ASB mula diurusniaga pada 28 Jun ini, pelabur hanya perlu membawa kad pengenalan sebagai dokumen pengenalan diri untuk berurusan dengan ASNB, sama ada di cawangan atau ejen ASNB

Mohammad berkata, sekiranya pelabur kehilangan buku pelaburan, mereka boleh membuat semakan status, mendapatkan maklumat pelaburan terkini atau menambah pelaburan dengan hanya membawa kad pengenalan, tanpa membuat penggantian buku.

Sebelum ini, pelabur perlu membawa buku pelaburan dan kad pengenalan untuk urus niaga dengan ASNB, terutama bagi pengeluaran.

Proses menggantikan buku pelaburan pula rumit dan memerlukan masa agak panjang, menyebabkan ada pelabur memilih untuk tidak meneruskan pelaburan.

Walaupun tiada lagi buku pelaburan, pelabur tidak perlu bimbang kerana mereka boleh mendapatkan Penyata Pegangan Pelaburan Unit Amanah untuk mendapatkan butiran terperinci pelaburan mereka dalam unit amanah ASNB.

Migrasi ASB

Migrasi ASB daripada sistem UTS kepada FDS adalah fasa terakhir proses naik taraf sistem yang dilaksanakan ASNB untuk semua produk unit amanahnya sejak beberapa tahun yang lalu.

 Ketika ini, ASB adalah satu-satunya produk unit amanah ASNB yang masih beroperasi menggunakan sistem UTS.

Oleh kerana migrasi ini membabitkan 9 juta pelabur, ia memerlukan satu tempoh yang agak panjang untuk dilaksanakan.

Justeru, ASNB perlu melaksanakannya ketika cuti umum yang panjang, seperti cuti sempena Aidilfitri ini untuk mengurangkan gangguan terhadap urus niaga pelabur.

Mohammad berkata, apabila migrasi ASB ini dilaksana ketika cuti umum yang panjang, ASNB dapat mengurangkan jumlah hari urus niaga ASB ditangguhkan.

ASB adalah tabung unit amanah terbesar negara dengan lebih sembilan juta pelabur yang melanggan kira-kira RM143 bilion unit ASB.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, ASB mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.

BERMULA 28 Jun ini pelabur hanya perlu membawa kad pengenalan sebagai dokumen pengenalan diri untuk berurusan dengan ASNB. - Foto Nazirul Roselan
BANGUNAN Cawangan Utama BSN Johor di Johor Bahru. >- Foto Zain Ahmed

Trending

    Disyorkan