Isnin, 19 Jun 2017 | 7:00am

H1 pencetus jenama HAVAL di Malaysia


SAIZ SUV kompak rekaan unik, ranggi. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

HAVAL H1 atau dulunya dikenali sebagai M4 sebelum dijenamakan semula Haval Malaysia awal tahun ini menjadi model pencetus kepada kehadiran jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) terkemuka China di negara ini.

Pelbagai tawaran menarik disediakan pengedarnya, Go Auto (Haval Malaysia), syarikat pengilang Haval Malaysia untuk memastikan jenama HAVAL semakin diminati oleh rakyat Malaysia.

Faktor harga mampu milik iaitu dari RM61,950, rekaan gaya terkini SUV, jaminan tujuh tahun dengan perbatuan tanpa had menjadi asas kukuh kepada Haval Malaysia untuk menawarkan kenderaan yang sesuai digunakan oleh pelbagai lapisan peringkat umur.

Ia sesuai dengan singkatan HAVAL iaitu 'Have All' yang bermaksud 'Semuanya Ada' kerana bukan saja ditawarkan pada harga mampu milik, malah semua kenderaan HAVAL turut dipadankan dengan ciri dan teknologi terkini.

Rekaan penuhi citarasa

Dari segi rekaan, sentuhan syarikat pengeluar dari China, Great Wall Motors (GWM) memang menarik dan sesuai dengan cita rasa rakyat Malaysia terutama golongan muda.

Ternyata bahagian luaran menawarkan rekaan menarik di tambah pula dengan aksesori lain seperti gril depan bergaya, lampu siang, rekaan lampu depan baharu, serta empat kamera di bahagian depan (gril), belakang (bonet) dan kedua-dua cermin sisi.

HAVAL H1 menampilkan sentuh kemas dari tempat duduk kulit hinggalah papan pemuka dengan skrin sesentuh 7-inci pelbagai fungsi dan stering kulit dengan kawalan audio serta fungsi cruise.

HAVAl H1 ditawarkan dengan tiga varian iaitu Comfort yang dijual pada harga atas jalan termasuk insurans RM61,950, Varian Premium (RM67,950) dan Elite (RM74,950).


REKAAN dalaman Haval H1 sesuai dengan cita rasa rakyat Malaysia. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Terima pengiktirafan EEV

Berbanding M4, antara pembaharuan yang ditampilkan H1 ialah gril krom yang lebih sporty dan penampilan logo HAVAL di stereng, but dan tempat duduk.

HAVAL H1 yang turut menerima pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV) ialah SUV segmen-B yang dijana enjin empat silinder petrol 1.5 liter VVT MPI berkuasa 105hp pada 6,000rpm dan 138Nm pada 4,200rpm.

Semua varian HAVAL H1 menggunakan sistem pacuan roda depan dan ditawarkan dengan transmisi AMT 6-kelajuan.

Bagi mereka yang kurang arif dengan enjin AMT, mungkin merasa sedikit kesukaran, tetapi apabila semakin 'fasih' ia memberikan keseronokan pemanduan.

Untuk yang mahukan reka bentuk lebih sporty dan menarik pula, Haval Malaysia turut menawarkan HAVAL H1 Elite yang berharga RM72,659 bersama ciri lampu depan halogen yang dilatari barisan LED di atasnya.

Ciri LED tambahan turut diletakkan pada lampu kabus yang pastinya menambahkan seri model berkenaan. Ada enam warna sebagai pilihan iaitu putih, perak, hitam, biru, merah dan oren.

Tawar promosi pembelian

Sempena Aidilfitri, Haval Malaysia turut melancarkan promosi pembelian HAVAL H1 di pelanggan yang membeli model SUV itu bagi tempoh 29 Mei hingga 25 Jun akan menerima baucar beli-belah AEON, baucar petrol BHP, Touch & Go, baucar KFC dan duit raya bernilai sehingga RM2,900.

Info:
Haval H1

  • Harga atas jalan termasuk insurans RM61,950 (varian Comfort), RM67,950 (varian Premium) dan RM74,950 (varian Elite)
  • Enjin empat silinder petrol 1.5 liter VVT MPI
  • 105hp @ 6,000rpm dan 138Nm @ 4,200rpm
  • Transmisi AMT 6-kelajuan
  • Jaminan 7 tahun dengan perbatuan tanpa had
  • SUV pertama sebagai EEV di Malaysia
226 dibaca
Berita Harian X