Ahad, 18 Jun 2017 | 2:26pm

1MDB: Kredibiliti DOJ boleh dipertikai


MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang disebut jabatan itu terbabit dalam langkah merampas aset RM2.3 bilion milik 1MDB.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata DOJ tidak sepatutnya hanya tahu mengeluarkan kenyataan spekulatif berhubung kes 1MDB, tetapi tidak mengambil tindakan termasuk mendakwa individu yang dirujuk sebagai Malaysian Official One (MO1).

"Kalau DOJ ada bukti kukuh, dakwa. Jangan buat kenyataan tanpa mengambil sebarang tindakan. Dengan mengambil tindakan undang-undang, sesiapa sahaja yang didakwa boleh menjawab dan membersihkan nama mereka.

"Jika tidak ada pendakwaan secara rasmi, bagaimana hendak tahu siapa MO1. Maka ia hanya sekadar spekulasi. Apabila ia hanya spekulasi, DOJ tidak bertanggungjawab. Mengeluarkan kenyataan tanpa mengambil sebarang tindakan berkredibiliti hanya mewujudkan spekulasi. Bermakna kredibiliti DOJ boleh dipertikaikan, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perjumpaan bersama Setiausaha UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan kesal dengan tindak tanduk DOJ kerana ia akan ada pihak 'menangguk di air keruh' dalam isu ini.

"Rakyat akan memutar belit isu ini sesuka hati mereka dan kadang-kadang ia dibuat atas kepentingan politik. Natijahnya ia satu tindakan tidak bertanggungjawab DOJ," katanya.

16 dibaca
Berita Harian X