Ahad, 18 Jun 2017 | 7:00am

Al-Quran mukjizat agung tiada tandingan


SEBAHAGIAN daripada 259 peserta membaca ayat suci Al-Quran secara beramai-ramai pada hari Nuzul Al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan. Membaca, menghayati serta mengamalkan isi kandungan Al-Quran adalah ibadah yang dituntut agama. - Foto BERNAMA

AL-QURAN adalah mukjizat agung yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Kitab suci keempat yang wajib diimani oleh umat Islam seluruh dunia mengandungi 114 surah dan 30 juzuk.

Uniknya, di Malaysia kita menyambut saban tahun hari penurunan al-Quran (Nuzul Al Quran) sebagai satu mukjizat agung Nabi Muhammad SAW sehingga hari itu dijadikan sebagai cuti umum bagi negeri tertentu.

Kalangan ulama berbeza pendapat berkaitan tanggal turunnya al-Quran, namun ulama juga bersepakat bahawa kitab suci itu diturunkan ketika Ramadan.

Sungguhpun begitu, pasti akan timbul satu persoalan iaitu kenapakah al-Quran yang dipilih untuk dijadikan sebagai mukjizat dan bukan keistimewaan yang lain? Jawapan bagi persoalan ini perlu diteroka bersandarkan kepada sirah nabawiyyah dan mukjizat nabi dan rasul.

Sekiranya kita merenung kembali kepada era kenabian Nabi Musa AS, kita akan mendapati bahawa amalan sihir dan ilmu hitam menjadi fenomena masyarakat pada zaman itu.

Malahan, Firaun yang mengaku dirinya tuhan turut memiliki ahli sihir 'kelas pertama' yang mampu mengabui mata rakyat mengenai apa jua kedustaannya. Maka, Allah SWT menurunkan mukjizat kepada Nabi Musa AS apabila tongkatnya mampu berubah menjadi ular.

Perubahan ini bagi tujuan untuk menandingi penyihir diraja Firaun dan akhirnya semua yang terpana dengan mukjizat Nabi Musa AS beriman kepada Allah SWT.

Begitu juga halnya dengan era Nabi Sulaiman AS, masyarakat pada waktu itu menggeruni kekuasaan dan kehebatan kerajaan Saba' di bawah pemerintahan Ratu Balqis yang menyembah matahari.

Allah memberikan kehebatan mukjizat Nabi Sulaiman AS dengan kerajaan manusia, jin dan haiwan bagi menandingi kerajaan Ratu Balqis. Baginda mampu bertutur dalam bahasa jin dan haiwan sehingga kisah ini diungkapkan dalam Al-Quran.

Akhirnya, Ratu Balqis memilih untuk berserah diri dan menyembah Allah SWT. Secara sepintas lalu, dapatlah kita simpulkan bahawa penurunan mukjizat kepada nabi AS adalah berdasarkan kepada kehendak, fenomena dan 'trending' lokaliti pada sesuatu era.

Tidak hairan al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW kerana pada era itu masyarakat jahiliah sangat mengagungkan hasil sastera dan puisi Arab.

Keadaan geografi tanah Arab yang kering kontang menjadikannya bukan sasaran taklukan empayar Rom dan Parsi. Ini termasuk aktiviti ekonomi yang bersifat sederhana dengan bumi yang tandus serta jalan perdagangan kerap menjadi laluan rompakan termasuk peperangan antara kabilah dalam kalangan mereka.

Sungguhpun begitu, ilmu kesusasteraan mempunyai nilai estetika yang tinggi sehinggakan kalangan pujangga yang mendeklamasi puisi dan pengucapan awam ditakuti oleh raja dan pemerintah kabilah.

Antara pujangga terkenal ketika era jahiliah, termasuk Imri Al Qays, Zuhair, Labid, Antarah dan sebagainya. Mereka akan mendeklamasikan puisi di pasar yang terkenal antaranya, Pasar Ukkaz dan puisi yang terbaik akan dipilih untuk ditulis dengan tinta emas dan digantung di kiswah (dinding Kaabah).

Tandingi kepakaran pujangga

Begitulah hebatnya puisi dan pengucapan awam dalam ilmu kesusasteraan Arab sehingga diagung-agungkan oleh masyarakat jahiliah. Berikutan itulah, al-Quran dipilih bagi menandingi kepakaran pujangga dan seterusnya menandingi semua makalah puisi agung yang digantung di dinding Kaabah.

Susunan ayat, laras bahasa dan gaya seni yang digunakan di dalam al-Quran begitu unik. Ia kaya dengan unsur metafora, ritma, aliterasi, asonansi dan sebagainya menyebabkan pujangga dan masyarakat jahiliah menjadi hairan dan takjub.

Mereka tidak dapat menerima kebenaran tentang kehebatan al-Quran sehingga ada yang mendakwa bahawa al-Quran adalah rekaan Nabi Muhammad SAW (Ath-Thur : 34) dan ia adalah sihir yang dipelajari dari orang-orang terdahulu (Al-Muddatsir : 24-25).

Malah, lebih teruk lagi muncul Musailamah al-Kadzab yang mencipta sendiri ayat yang hampir sama bunyi dan laras bahasa untuk menandingi al- Quran namun ternyata semuanya gagal.

Keindahan dan kesenian bahasa al-Quran turut menyebabkan dua pembesar Makkah masuk Islam iaitu Umar Al Khattab dan Al Walid Ibn Al Mughirah. Ini tidak termasuk lagi kehebatan al Quran yang kaya dengan ilmu sejarah, psikologi, matematik, sains, kesihatan dan sebagainya.

Bahkan hebatnya al-Quran kerana ia masih lagi kekal dalam bahasa Arab dan susunan ayat masih lagi tidak berubah sejak penurunannya berbanding kitab ajaran lain seperti Bible yang asalnya bahasa ibrani sudah bertukar menjadi bahasa yunani.

Oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa al-Quran adalah mukjizat agung yang diturunkan kepada umat Islam yang perlu dibaca dan dihayati setiap masa. Laras bahasa dan susunan ayatnya yang unik mampu dijadikan sebagai garis panduan kepada rakyat Malaysia untuk berbicara secara terus mahupun mengketik papan kekunci di telefon bimbit mahupun komputer dalam menyelusuri media sosial dengan sopan dan berbudi.

Jangan pula jadikan media sosial sebagai wasilah untuk kita memfitnah, menabur berita palsu dan membudayakan bahasa yang tiada adab dan jati diri kerana perkara tersebut bukan sekadar tidak menepati gaya penulisan bahasa al-Quran malahan turut bertentangan dengan inti pati dan isi kandungan al Quran.

Marilah sama-sama kita menginsafi dan mentadabbur segala intipati yang terdapat di dalam al-Quran dan semoga kita dapat memanfaatkan sebaiknya sambutan Nuzul Al-Quran baru-baru ini agar kita dapat untuk menelaah dan memurajaah al-Quran bersama ahli keluarga.

Penulis ialah Pengarah Unit Debat, Advokasi dan Oratori, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Utara Malaysia (UUM)

107 dibaca
Berita Harian X