Sabtu, 17 Jun 2017 | 12:02am

Mohd Poad puas hati prestasi atlet di Terbuka Thailand


JURULATIH olahraga, Zainal Abas (dua dari kiri) bermesra dengan sebahagian atlet olahraga di balai ketibaan KLIA setibanya dari Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand baru-baru ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

SEPANG: Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim berpuas hati dengan keputusan positif yang dilakar atlet kendaliannya pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand di Kompleks Sukan Universiti Thammasat, Pathum Thani, yang berakhir semalam.

Beliau menyifatkan kejayaan Raja Pecut negara, Khairul Hafiz Jantan memenangi pingat emas acara 100m dan perak bagi acara 200m sebagai satu petanda positif untuk skuad olahraga negara memburu keputusan terbaik pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

"Latihan diadakan di beberapa negara luar jelas membantu meningkatkan prestasi atlet pecut kita dan saya ucap tahniah kerana atlet kita menerapkan apa yang ditekankan dalam latihan pada kejohanan yang kita sertai," katanya.

Mohd Poad ditemui pemberita sebaik skuad olahraga negara tiba dari Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, malam ini.

Beliau turut berharap atlet pecut negara dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk memperbaiki prestasi pada Kejohanan Trek dan Padang Asia ke-22 di India, 6 hingga 9 Julai ini, yang juga kejohanan pemanas badan terakhir sebelum berlangsung Sukan SEA ke-29.

Berkongsi pandangan sama adalah Khairul Hafiz yang berpuas hati dengan pencapaiannya di Thailand, walaupun gagal memperbaiki catatan peribadi terbaik dalam acara 100m dan 200m.

"Kejayaan menewaskan pemenang pingat emas acara 100m Sukan SEA Myanmar 2013, Jirapong Meenapra dari Thailand adalah satu kenangan manis untuk saya sendiri," jelas anak jati Melaka itu yang dijangka disenaraikan ke Kejohanan Asia di India, bulan depan.

Pada aksi di Terbuka Thailand, skuad olahraga negara meraih empat pingat emas menerusi Khairul Hafiz dalam acara 100m, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru lelaki), Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi wanita) dan 4x100m wanita. - BERNAMA

165 dibaca
Berita Harian X