Rabu, 7 Jun 2017 | 8:39pm

1.4 juta saman trafik belum dijelaskan


AHMAD Zahid menyampaikan ucapan pada majlis penerapan nilai-nilai murni di bulan ramadan bersama Timbalan Perdana Menteri di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 5.3 juta saman trafik tahun lalu dan 1.4 juta daripadanya belum dijelaskan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hanya 3.9 juta saman dikeluarkan PDRM atas pelbagai kesalahan lalu lintas sudah dijelaskan, membabitkan nilai kutipan RM309 juta.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PDRM bercadang mengutip saman tertunggak itu di rumah pesalah, namun kerajaan meminta ia dipertimbang semula.

"Ketua Polis Negara minta saya benarkan anggota polis kutip denda ini daripada 1.4 juta pengguna yang belum lunaskan saman. Mereka minta dalam mesyuarat tapi saya kata jangan dulu.

"Jika 1.4 juta saman ini dapat dikutip semua, PDRM akan memperoleh kutipan RM600 juta.

"Saya bukan tidak mahu Ketua Polis Negara arah anak buah kutip saman, tetapi kerajaan tahu rakyat ketika ini tertekan dengan pelbagai keperluan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penerapan Nilai Murni Timbalan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Yang turut sama hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Ahmad Zahid berkata, Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik PDRM akan menggandakan Ops Selamat Ke-11 sempena sambutan Aidilfitri akhir bulan ini.

35 dibaca
Berita Harian X