Selasa, 6 Jun 2017 | 3:57pm

Hisyam kini disanjung di negara sendiri


Hisyam Hamid. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Bintang asal Singapura, Hisyam Hamid, mengaku dirinya kini lebih disanjung peminat negara itu selepas memutuskan untuk aktif berlakon di Malaysia.

Berbanding awal kemunculannya di dunia seni, Hisyam, 32, berkata beliau dapat berasakan perubahan selepas mencipta nama di negara ini.

Katanya, kini apabila pulang ke Singapura, beliau diberikan layanan lebih istimewa seperti bintang dari luar.

"Ada kebaikannya juga apabila saya menetap di negara ini kerana jika ada tawaran berlakon di Singapura, mereka anggap saya sebagai artis Malaysia dan diberikan layanan ibarat pelakon luar.

"Di sana, layanan untuk artis Malaysia dan Indonesia lebih baik berbanding artis mereka sendiri. Apabila pulang ke sana, orang tidak menganggap saya sebagai pelakon Singapura walaupun saya masih warga negara itu, sebaliknya dianggap sebagai artis Malaysia," katanya.

Hisyam berkata, beliau masih mendapat undangan lakonan daripada produksi negara terbabit, namun dirinya lebih suka menerima tawaran menjayakan telefilem berbanding drama bersiri.

Kata bintang Sayang Papa Saya Tak? ini, berlakon drama bersiri di negara itu mengambil masa yang agak lama.

"Saya cuba untuk kekal di sana, tetapi tidak boleh kerana bagi menjayakan drama 13 episod saja, penggambarannya mengambil masa sehingga tiga atau empat bulan.

"Kalau di sini, saya boleh buat banyak kerja lain dalam tempoh terbabit," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa saluran HBO dan pratonton filem animasi The Secret Life of Pets, di sini.

Bukan sekadar Malaysia dan Singapura, bakatnya kini mula mendapat tempat di Indonesia.

Baru-baru ini, Hisyam ditawarkan membintangi supertelefilem untuk tayangan Astro First, bergandingan dengan Ashraf Sinclair dan Datuk M Nasir, yang akan menjalani penggambaran selama sebulan di Jakarta.

555 dibaca
Berita Harian X