;
Isnin, 5 Jun 2017 | 10:56pm

UMNO tak kelam-labut macam pembangkang : Annuar


KETUA Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR : UMNO tidak mendahulukan kepentingan individu bagi meneruskan perjuangan dan memenangi hati rakyat berbanding pembangkang.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata perkara itu menjadi tunjang utama Barisan Nasional untuk mendapatkan mandat memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, situasi itu berbeza dengan strategi kelam-kabut pemimpin pembangkang yang lebih mementingkan agenda dan kepentingan individu bagi meraih jawatan penting dalam parti.

"UMNO tidak sama dengan parti serpihan lain (pembangkang). Kalau ada ahli yang buat silap, kita akan tegur dan berbincang seperti satu keluarga.

"Majlis Tertinggi (MT) juga sentiasa memberi peringatan kepada ahli supaya jangan bersikap individualistik tetapi dahulukan kepentingan politik parti dan negara," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa, Solat Maghrib dan Terawih bersama media.

Seramai 100 wakil media menghadiri majlis berkenaan termasuk, Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Mengulas lanjut, Annuar berkata ahli UMNO diingatkan supaya mengambil iktibar pertelingkahan PAS dan PKR yang menjadi mangsa kepentingan politik parti cauvinis DAP.

Ketika mengulas persiapan jentera UMNO menghadapi PRU-14, Annuar berkata parti itu sentiasa bersedia sejak awal.

"Persiapan UMNO termasuk pengurusan maklumat, sistem data yang lengkap dan arahan gerak kerja sistematik. Walaupun tidak dihebohkan, gerak kerja terus berjalan di seluruh negara," katanya.

460 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »