Sabtu, 3 Jun 2017 | 4:54pm

Bukti lagu duet Fattah, Fazura diterima


FATTAH Amin dan Fazura. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Fattah Amin, mengakui tidak menduga single duetnya bersama Fazura, Cinderella, menduduki tangga pertama carta jualan digital iTunes, selepas dilancarkan semalam.

Meskipun yakin akan diterima ramai, Fattah terkejut apabila lagu yang melatari drama lakonan mereka, Hero Seorang Cinderella berjaya mengetepikan saingan daripada lagu nyanyian artis antarabangsa antaranya seperti Despacito nyanyian Luis Fonsi, Daddy Yankee dan Justin Bieber; Shape Of You (Ed Sheeran) dan Something Just Like This (The Chainsmokers dan Coldplay).

"Saya ingin berterima kasih kepada pengarah, Michael Ang yang sudi memilih dan menjadikan Cinderella sebagai lagu tema drama itu. Kejayaan awal itu membuktikan kerjasama saya dan Fazura dalam lagu itu diterima ramai," katanya.

Terdahulu, Fattah menerusi Instagramnya mengucapkan, terima kasih kepada peminat yang memuat turun lagu runut bunyi drama itu sebagai tanda sokongan terhadap industri muzik tempatan, sekali gus menolak kegiatan cetak rompak.

Sementara itu, Fazura mengakui keserasian yang tercipta antara dirinya dan Fattah ketika membintangi drama yang kini bersiaran di Astro itu membantu proses rakaman lagu tema itu berjalan lancar.

Cinderella dihasilkan penyanyi dan komposer, Aizat Amdan yang sebelum ini pernah menulis lagu Wanita Terakhir nyanyian Fattah.

"Aizat selaku komposer sedikit sebanyak turut membantu memberikan bimbingan bagaimana mahu meluahkan emosi dengan berkesan ketika rakaman dilakukan," kata Fazura.

435 dibaca
Berita Harian X