;
Ahad, 28 Mei 2017 | 8:09pm

Jom Masjid agih bubur lambuk di Temerloh


SEBANYAK 500 bubur lambuk diagihkan kepada pengunjung sempena program Jom Masjid dengan Tema Terima Kasih anjuran Media Prima Bhd di Masjid Baru Temerloh. - Foto Nazirul Roselan

TEMERLOH: Siri penjelajahan Jom Masjid anjuran TV3 dan TV9 kini bermula dengan lokasi pertama dipilih di Masjid Baharu Daerah Temerloh, di sini, hari ini.

Pelbagai aktiviti diadakan bagi menarik penduduk di daerah ini berkunjung sekali gus mengimarahkan masjid sempena Ramadan.

Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama Dan Rancangan TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Siti Nurlisia Mohd Nadzri, berkata program Jom Masjid di masjid berkenaan sudah bermula seawal jam 11 pagi.

"Antara aktiviti dilakukan termasuk memasak bubur lambuk bersama ahli jawatankuasa masjid untuk diagihkan kepada penduduk setempat dan pengunjung ke masjid ini.

"Selain itu, rakaman program al-kuliyyah, majlis berbuka puasa dan terawih turut dilakukan di masjid ini," katanya.

Katanya program Jom Masjid seterusnyaa akan diadakan di Masjid al Muttaqin Taman Ria, Sungai Petani, Kedah.

"Program ini akan diselangi dengan program Bazar Ramadan yang akan bertempat di Kemaman, Terengganu dan Johor Bahru, Johor," katanya.

Beliau berkata, antara artis tanah air yang juga duta kempen Terima Kasih turut memeriahkan program itu seperti Faizal Tahir, Aizat Amdan, Elfira Loy, dan Fiza Sabjahan.

"Menerusi program begini, ia sekali gus membuktikan Media Prima Berhad bukan sahaja menyajikan hiburan tetapi turut mengadakan program kerohanian," katanya.

327 dibaca
Berita Harian X