Khamis, 25 Mei 2017 | 12:16pm

Kesiapsiagaan tahap tertinggi: TPM


AHMAD Zahid menunjukkan aplikasi 'Big Splash Data' ketika menaiki bas Rapid KL sempena Majlis Hari Data Terbuka 2017 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Pengawasan Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas (E8) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada di tahap kesiapsiagaan tertinggi susulan kejadian letupan terbaru di Manchester dan Jakarta, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara langkah diambil ialah menempatkan anggota keselamatan berpakaian biasa di lokasi tumpuan awam.

"Jangan ambil mudah perkara ini kerana pengeboman boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa di dunia ini.

"Malaysia juga tidak terlepas jika kita tidak berhati-hati dan tidak meletakkan kesiapsiagaan di tahap tertinggi," katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Hari Data Terbuka 2017 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Dr Mazlan Yusof.

Isnin lalu, serangan letupan bom yang dipercayai didalangi pengebom nekad, Salman Abedi, 22, selepas konsert penyanyi antarabangsa, Ariana Grande, di Manchester Avenue mengorbankan 22 nyawa dan sekurang-kurangan 59 dilaporkan cedera.

Malam tadi, tiga anggota polis terbunuh dan 10 orang awam cedera susulan dua letupan yang berlaku di stesen bas Kampung Melayu, timur Jakarta.

Kejadian dipercayai turut didalangi pengebom nekad.

Ahmad Zahid berkata, serangan yang dilaporkan di Mindanao, Bangkok dan terbaru di Jakarta, dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan militan Daesh, Muhd Wanndy Jedi, bulan lalu.

"Kita jangan berasa terlalu selesa hanya kerana perkara seperti itu (serangan pengganas) tidak berlaku di Malaysia.

"Kepercayaan mesti diberi kepada pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan negara. Apa yang berlaku di Manchester boleh berlaku di rantau ini.

"Ada beberapa acara penting akan berlaku di negara kita, maka PDRM dan Majlis Keselamatan Negara akan menggandakan pemantauan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia kini berada di kedudukan ke-31 daripada 139 negara dalam Indeks Kesediaan Rangkaian 2016 dalam laporan Teknologi Informasi Global 2016 yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Katanya, 10 aspek menjadi teras utama penilaian WEF bagi indeks berkenaan dan satu daripadanya ialah penggunaan ICT oleh kerajaan yang menyaksikan Malaysia berada di kedudukan keenam daripada 139 negara.

68 dibaca
Berita Harian X