Selasa, 23 Mei 2017 | 12:07am

Wabak taun ragut 315 nyawa di Yaman


RAKYAT Yaman menderita akibat kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan. - Foto Reuters

SANAA: Wabak taun meragut 315 nyawa di Yaman dalam tempoh sebulan lalu, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), ketika sebuah pertubuhan bantuan lain memberi amaran ia mungkin merebak pada skala besar.

WHO merekodkan tambahan 29,300 kes disyaki taun di 19 wilayah negara terjejas perang itu, sejak 27 April hingga Ahad lalu, katanya menerusi Twitter.

"Taun terus merebak di Yaman," katanya.

Kumpulan bantuan Save the Children memberi amaran, Isnin lalu bahawa berdasarkan kadar semasa, lebih 65,000 kes taun dijangka berlaku sehingga akhir Jun ini.

"Kakitangan Save the Children di Yaman memberi amaran bahawa wabak taun mungkin mungkin merebak pada skala besar," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut WHO, jangkitan bakteria taun mudah merebak menerusi bekalan air tercemar. - AFP

16 dibaca
Berita Harian X