Isnin, 22 Mei 2017 | 11:53pm

JDT, Selangor satu kumpulan

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) diundi dalam `kumpulan maut' pada undian Piala Malaysia edisi ke-93.

Turut diundi bersama JDT dalam Kumpulan D termasuk juara 33 kali, Selangor, Sarawak dan pasukan Liga Perdana, Terengganu.

Juara bertahan Piala Malaysia, Kedah juga dilihat tidak berdepan laluan mudah apabila diundi bersama Kelantan, Melaka United dan UiTM FC dalam Kumpulan C.

Bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berharap Helang Merah yang baharu saja menjulang Piala FA, Sabtu lalu dapat mengekalkan prestasi cemerlang mereka dalam saingan Piala Malaysia.

"Saya harap Kedah dapat kekalkan momentum kerana jika mereka berjaya kekalkan momentum, sudah pasti mereka akan menjadi antara pencabar utama musim ini," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, juara tujuh kali, Perak pula diundi bersama Kuala Lumpur dan dua pasukan kelab, FELDA United FC dan PKNS FC dalam Kumpulan B.

Bagi Pahang pula, skuad kendalian Dollah Salleh itu dilihat bakal berdepan laluan mudah selepas diundi bersama Negeri Sembilan dalam Kumpulan A.

Dua lagi pasukan yang diundi dalam kumpulan itu termasuk T-Team dan PKNP FC yang bakal membuat penampilan pertama dalam saingan piala berprestij itu.

Saingan peringkat kumpulan akan bermula pada 4 Julai ini dengan perlawanan akhir dijangka berlangsung pada 28 Oktober.

73 dibaca
Berita Harian X