Sabtu, 20 Mei 2017 | 10:44pm

242 maut dalam tiga minggu akibat taun


PENULARAN taun di Yaman yang dilanda krisis sudah meragut 242 nyawa dan menyebabkan hampir 23,500 lagi sakit sejak tiga minggu lalu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

SANAA: Penularan taun di Yaman yang dilanda krisis sudah meragut 242 nyawa dan menyebabkan hampir 23,500 lagi sakit sejak tiga minggu lalu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO berkata, semalam sahaja, 20 kematian akibat taun dan 3,460 kes disyaki didaftarkan di negara itu, yang mana dua pertiga penduduknya berada di ambang kebuluran.

"Penularan wabak sepantas ini tidak pernah berlaku sebelum ini," kata wakil WHO di Yaman, Nevio Zagaria, kepada wartawan di Geneva menerusi telefon dari negara itu, sambil memberi amaran suku juta penduduk akan dijangkiti penyakit itu menjelang akhir tahun ini.

Taun adalah jangkitan bakteria berjangkit yang merebak menerusi air atau makanan tercemar.

Mengekang penularan penyakit itu amat sukar di Yaman, yang dilanda peperangan sejak dua tahun lalu antara pemberontak Houthi dan tentera kerajaan disokong tentera pakatan diketuai Arab Saudi yang sudah menyebabkan lebih separuh kemudahan perubatan di negara itu tidak berfungsi.

Zagaria berkata, pekerja kemanusiaan tidak boleh memasuki beberapa wilayah negara itu dan bilangan kes disyaki taun mungkin lebih tinggi berbanding didaftarkan.

Katanya, ramai pekerja kesihatan yang masih kekal di negara itu tidak menerima gaji selama tujuh bulan. - AFP

25 dibaca
Berita Harian X