Khamis, 18 Mei 2017 | 12:29am
BANGLO di Shah Alam, yang dijadikan pusat operasi oleh sindiket Macau Scam diserbu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, petang tadi.
ANTARA warga China dan Taiwan, ahli sindiket Macau Scam yang ditahan di sebuah banglo di Shah Alam, petang tadi.
KERTAS skrip butiran perbualan antara ahli sindiket Macau Scam dengan mangsa yang menjadi sasaran mereka si Taiwan turut dirampas sebagai bahan bukti.

25 ahli sindiket 'Macau Scam' ditahan di Shah Alam

 


ANTARA warga China dan Taiwan, ahli sindiket Macau Scam yang ditahan di sebuah banglo di Shah Alam, petang tadi.

KUALA LUMPUR: Seramai 20 rakyat China dan lima warga Taiwan dipercayai ahli sindiket penipuan 'Macau Scam', ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ke atas sebuah banglo di Shah Alam, petang tadi.

 

Mereka berusia antara 20 hingga 30 tahun menjadikan Malaysia sebagai pusat untuk menipu mangsa yang berada di Taiwan menggunakan 'voice over internet protocol' (VoIP) menyamar sebagai pegawai bank, polis, pegawai mahkamah mahupun pegawai syarikat telekomunikasi.

Pengarah JSJK, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan sindiket yang aktif sejak Mac lalu, memperdaya mangsa sehingga membuat pemindahan wang ke akaun yang diberikan oleh sindiket berkenaan.

 

"Ahli sindiket ini akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai syarikat telekomunikasi di Taiwan, sebelum memberitahu mangsa mempunyai hutang internet dalam jumlah yang besar.

"Mangsa diminta untuk menyelesaikan hutang dengan segera dan membuat pemindahan wang ke akaun ditetapkan di Taiwan.

"Bagi meyakinkan lagi mangsa, ahli sindiket turut menyamar sebagai pegawai polis, bank dan pegawai mahkamah, " katanya dalam kenyataan malam tadi.

 

Katanya, dalam serbuan sama, pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vellfire; 10 pasport China dan lima Taiwan; kertas skrip yang digunakan untuk berhubung dengan mangsa; empat komputer riba; 16 Ipad; 15 telefon; tiga pendrive serta modem dan router.

 

Acryl berkata, sepanjang empat bulan pertama tahun ini, JSJK menjalankan siasatan terhadap 270 kes penipuan 'Macau Scam' yang membabitkan kerugian berjumlah RM9.49 juta.

Modus operandi sindiket adalah mereka berpangkalan di Malaysia bagi mengelak dikesan pihak berkuasa Taiwan.

378 dibaca
Berita Harian X