Khamis, 11 Mei 2017 | 12:34pm

7-Eleven, Lazada, MOLPay tawar perkhidmatan pembayaran baharu

KUALA LUMPUR: 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd (7-Eleven), pengendali rangkaian kedai serbaneka menawarkan perkhidmatan pembayaran luar talian (offline) Lazada Malaysia menerusi lebih 2,100 cawangannya di seluruh negara.

Perkhidmatan pembayaran baharu itu hasil kerjasama 7-Eleven dengan Lazada Malaysia dan rakan strategik dan penyedia teknologi, MOLPay.

Menerusi kerjasama itu, pelanggan yang tidak memiliki akses kepada kad kredit, kad debit atau perbankan internet boleh beli-belah dalam talian di Lazada Malaysia dengan membuat pembayaran secara luar talian.

Dengan cara mudah, pelanggan yang mengesahkan tempahan dalam talian dan memilih 7-Eleven sebagai pilihan pembayaran, hanya perlu menunjukkan bukti cetakan slip atau kod SMS pembelian dalam talian di Lazada Malaysia kepada juruwang di semua cawangan 7-Eleven di seluruh Malaysia.


KETUA Pegawai Eksekutif 7-Eleven Malaysia, Gary Brown. - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Ia adalah kaedah pembayaran alternatif kepada pelanggan untuk membeli-belah di Lazada Malaysia sekali gus menjadikan 7-Eleven sebagai platfom pembayaran," kata Ketua Pegawai Eksekutif 7-Eleven Malaysia, Gary Brown.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan perkhidmatan pembayaran baharu yang ditawarkan 7-Eleven di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia,  Hans-Peter Ressel dan Ketua Pegawai Eksekutif MOLPay, Eng Sheng Guan.

Info kaedah pembayaran luar talian Lazada

* Pelanggan Lazada Malaysia membuat pengesahan tempahan secara dalam talian

* Memilih 7-Eleven sebagai pilihan pembayaran

* Menerima kod SMS atau mencetak salinan pembelian tempahan

* Tunjuk kepada juruwang 7-Eleven dan buat pembayaran tunai

172 dibaca
Berita Harian X