Khamis, 4 Mei 2017 | 5:22pm

Pos Malaysia tubuh pusat agihan e-Dagang serantau


DATUK Mohd Shukrie Mohd Salleh (kiri) bersama Hans-Peter Ressel selepas majlis memeterai Memorandum Kerjasama (MOC) dengan Lazada Malaysia, sebentar tadi. - Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd mengukuhkan kedudukan sebagai katalis perubahan dalam industri e-Dagang dan logistik apabila memeterai Memorandum Kerjasama (MOC) dengan Lazada Malaysia, sebentar tadi.

MOC itu adalah bagi pembangunan Pusat Pengagihan Serantau e-Dagang (e-Commerce RDC) di bangunan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) lama di Sepang, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata pusat RDC e-Dagang bernilai RM120 juta itu bakal menjadi pusat sehenti yang antara lain menawarkan khidmat nilai tambah seperti penyelesaian logistik pengangkutan air-laut-udara, penghantaran antarabangsa, perkhidmatan pos dan kurier serta khidmat pergudangan.

"Projek itu adalah pengesahan kepada strategi jangka panjang kumpulan untuk menjadi penyedia perkhidmatan menyeluruh bagi Penyedia Logistik Berintegrasi (ILS), yang akan menjadi sebahagian daripada pemangkin pertumbuhan segmen e-Dagang di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pemeteraian MOC itu, di sini.

Mohd Shukrie mewakili Pos Malaysia manakala Lazada Malaysia diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hans-Peter Ressel.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar; Setiausaha Kanan Bahagian Kandungan, Komunikasi dan Khidmat Pos Kementerian Komunikasi dan Mutimedia, Nik Kamaruzaman Nik Husin; dan Ketua Hal Ehwal Pos dan e-Dagang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohamed Zaidi Abdul Karim.

Mohd Shukrie berkata, buat permulaan pusat itu akan bertanggungjawab mengendalikan proses pengagihan hujung-ke-hujung khusus untuk Lazada Malaysia, sebelum diperluaskan kepada peserta e-Dagang lain di rantau ini.

"Ia dijadualkan beroperasi hujung Ogos depan," katanya.

Mohd Shukrie berkata, Pos Malaysia akan menggembleng tenaga bagi memastikan cita-cita serta Visi P03 Malaysia untuk menjadi entiti yang akan terus berdaya saing di masa hadapan.

"Usaha sama dengan Lazada Malaysia tepat pada waktunya, kerana mereka adalah entiti perniagaan dan beli-belah yang mempunyai landasan e-Dagang kukuh di Asia Tenggara," katanya.

Beliau percaya MOC itu akan menjadi platform bagi Pos Malaysia dan Lazada Malaysia untuk bertukar-tukar maklumat yang akan memberi kelebihan kepada kedua-dua belah pihak bagi memantapkan lagi khidmat, produk serta aktivitinya secara global.

216 dibaca
Berita Harian X