Selasa, 2 Mei 2017 | 7:24pm

Pakatan pembangkang tidak kekal lama


TIMBALAN Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin. - Foto Zulaikha Zainuzman

KUALA LUMPUR: Keputusan PAS untuk memutuskan 'tahaluf siyasi' dengan PKR seperti diputuskan dalam muktamar ke-63 parti itu membuktikan mana-mana pakatan yang dibentuk oleh parti pembangkang tidak akan kekal lama.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, berkata tindakan PAS itu juga satu tamparan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk meraih sokongan rakyat lebih-lebih lagi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, PAS yang dulu berjuang sendiri sudah mula sedar perjuangan bersama PH hanya janji dan omong kosong kumpulan oportunis yang suka mengambil kesempatan dengan menggunakan parti lain bagi meraih sokongan ramai.

"Berbeza dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mana dianggotai lebih banyak parti dengan latar belakang ahli yang pelbagai tetapi terus bersatu kerana adanya persefahaman, kesepakatan demi melihat Malaysia terus maju," katanya ditemui BH dalam wawancara khas sempena 71 tahun UMNO, di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan PAS pada muktamar parti meluluskan usul supaya 'tahaluf siyasi' antara parti itu dan PKR ditamatkan.

Berikutan itu, muktamar PAS juga meluluskan usul tanpa bahas supaya calon parti itu bertanding di kerusi PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mas Ermieyati berkata, beliau percaya rakyat dan pengundi bijak menilai untuk menentukan parti mana yang boleh diharapkan dan diyakini untuk memajukan masyarakat dan negara.

Katanya, beliau sendiri kagum dengan cara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjadikan setiap cabaran yang dihadapi negara dan parti sebagai peluang untuk terus maju.

"Banyak negara di dunia kini menghadapi cabaran politik dalam pelbagai bentuk. Malaysia tidak terkecuali, namun kita mempunyai pemimpin yang berlapang dada dan melihat cabaran politik sebagai peluang untuk menyerlahkan kelebihan dengan mengendalikannya secara bijaksana," katanya.

Mengulas mengenai sambutan ulang tahun ke-71 UMNO, katanya kira-kira 10,000 ahli Puteri UMNO akan turut serta dalam perhimpunan raksasa di Stadium Bukit Jalil nanti.

"Kami melihat mood untuk ulang tahun ke-71 adalah mengenai pilihan raya umum dan ketika ini UMNO berada dalam suasana yang paling stabil dan kukuh selepas melalui beberapa cabaran dalam parti," katanya.

35 dibaca
Berita Harian X