Rabu, 26 April 2017 | 6:54pm

Statin tidak tingkat risiko kanser

KUALA LUMPUR: Dakwaan pengambilan ubat statin untuk individu bermasalah kolesterol berupaya meningkatkan risiko kanser, katarak, kencing manis dan komplikasi saraf adalah palsu.

Pakar Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr Beni Isman Rusani, berkata sehingga kini tiada kajian saintifik bagi menyokong dakwaan terbabit.


PAKAR Kardiologi IJN, Dr Beni Isman Rusani. - Foto fail NSTP/ Muhd Asyraf Sawal

"Belum ada bukti menerusi kajian saintifik yang memperuntukkan fasa ujian makmal, haiwan dan manusia bahawa statin mengakibatkan atau meningkatkan risiko kanser.

"Selain itu, wujud dakwaan kononnya statin berupaya mengubati kanser, namun keberkesanannya memerlukan kajian lanjut mengikut proses perubatan makmal dan ujian terhadap haiwan serta manusia," katanya ketika dihubungi BH, hari ini

Beliau mengulas artikel yang viral di laman sosial mengenai kesan sampingan pengambilan statin, kononnya meningkatkan risiko kanser, kencing manis, komplikasi saraf dan katarak (pembentukan selaput pada kanta mata).

Dr Beni berkata, pemberian statin untuk mengurangkan kadar kolesterol pesakit jantung mula menjengah pasaran dan digunakan secara meluas, termasuk di Malaysia sejak 1987.

Beliau berkata, kaedah perubatan menerusi ubat berkenaan adalah mengikut Panduan Amalan Klinikal (CPG) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan untuk memantau kesan sampingan pengambilan statin.

Katanya, pengambilan statin untuk mencegah serangan jantung terbahagi kepada dua kategori, iaitu primer dan sekunder, selain berpandukan beberapa faktor seperti usia, jantina, gaya hidup dan latar belakang pesakit.

"Doktor lazimnya akan arahkan langkah pencegahan seperti amalkan gaya hidup sihat, berhenti merokok, mengurangkan pengambilan makanan berkolesterol dan gula, selain penyusutan berat badan untuk pesakit primer.

"Latar belakang keluarga turut diambil kira, khususnya jika ada ahli keluarga diserang sakit jantung pada usia kurang 55 tahun bagi lelaki dan kurang 65 tahun untuk wanita.

"Semua faktor ini diambil kira bagi menentukan kadar risiko pesakit primer terhadap serangan jantung, sebelum statin diberi mengikut dos tertentu, manakala pesakit sekunder wajib ambil statin," katanya.

Dr Beni berkata, menerusi CPG, doktor akan memantau pesakit mengambil statin menerusi kadar penghasilan enzim dalam hati setiap tiga hingga enam bulan bagi memastikan paras lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) berkurang sehingga 50 peratus.

Katanya, dos akan dikurangkan sementara jika pesakit mempunyai kesan sampingan, iaitu sakit otot kerana penentuan kadar pengambilan statin turut tertakluk kepada daya ketahanan setiap individu.

Fakta nombor

  • 20,000 rakyat Malaysia diserang sakit jantung setiap tahun
  • 25 peratus daripadanya berumur bawah 50 tahun.
114 dibaca
Berita Harian X