Rabu, 26 April 2017 | 1:21pm

Jabatan Pendidikan Selangor utamakan isu gengsterisme

SHAH ALAM: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sentiasa memberi perhatian utama terhadap isu gengsterisme dalam kalangan pelajar sekolah.


Shashim Shah Harun

Justeru, Timbalan Pengarahnya, Shashim Shah Harun berkata, guru perlu menjadi pemberi maklumat mengenai tindak tanduk pelajar agar pencegahan awal dapat dijalankan.

"Kami tidak mahu terlambat dalam menyelesaikan sesuatu isu, terutama isu serius seperti kongsi gelap kerana pelajar masih di bawah umur.

"Siasatan juga masih dijalankan polis, justeru kami diminta untuk tidak memberi ulasan lanjut mengenainya sehingga siasatan selesai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah JPN Selangor di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Shashim berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian 27 individu termasuk pelajar dari tiga buah sekolah di Klang yang ditahan minggu lalu kerana disyaki terbabit dengan kumpulan kongsi gelap.

Mereka ditahan sebaik klip video memaparkan sambutan kumpulan kongsi gelap diadakan di depan sebuah sekolah menengah di Klang oleh sekumpulan lelaki, termasuk yang memakai seragam sekolah, tersebar di media sosial.

Shashim berkata, pihaknya berharap isu berkenaan dapat ditangani dengan baik dan semua pihak bekerjasama membendung masalah ini.

Sementara itu, kira-kira 300 ketua jabatan dan kakitangan JPN Selangor serta warga pendidik hadir pada majlis Ikrar Bebas Rasuah JPN Selangor itu.

"Sesi ikrar bebas rasuah ini akan diperluaskan ke peringkat Pejabat Pendidikan Daerah yang membabitkan pengetua serta guru besar, sebelum dilanjutkan kepada guru di peringkat sekolah.

"Saya berharap dengan adanya ikrar ini, warga pendidik Selangor secara keseluruhannya menolak rasuah dalam apa jua bentuk agar integriti sebagai pendidik bangsa terpelihara," katanya.

318 dibaca
Berita Harian X