Selasa, 25 April 2017 | 12:38pm

Kastam Johor rampas minuman keras bernilai RM21 juta


SEBAHAGIAN daripada 24 pekerja warga asing yang ditahan dalam Ops Mega Jabatan Imigresen dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini, kerana tidak mempunyai dokumen sah serta E-Kad untuk bekerja. - Foto Amir Irsyad Omar

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 16 kontena minuman keras membabitkan cukai dianggarkan RM21 juta, dalam dua serbuan berasingan di Zon Bebas Pelabuhan Tanjung Pelepas, dekat sini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam, berkata dalam operasi pertama pada 17 April lalu, pihaknya menyerbu dua gudang di pelabuhan itu dan merampas 44,000 peti minuman keras bernilai lebih RM5 juta dengan nilai cukai dianggarkan RM20 juta.

Katanya, pada 22 April lalu, pihaknya menahan dua kontena minuman keras pelbagai jenama bernilai kira RM427,104 dengan nilai cukai RM896,422.

"Penyeludup minuman keras itu menggunakan modus operandi transit di mana dagangan berkenaan dibawa masuk ke zon bebas terlebih dahulu dan disimpan di gudang.

"Barangan itu kemudian dikeluarkan tanpa proses kelulusan JKDM sehingga menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai berjuta-juta ringgit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Kastam Johor di sini, hari ini. Yang turut hadir Pengarah Kastam Johor, Datuk Jaafar Mat Jawi.

Subromaniam berkata, pihaknya mendapati antara faktor ketirisan hasil khususnya rokok dan minuman keras disebabkan pengimportan yang dibawa ke zon bebas tidak memerlukan kawalan kastam.

Katanya, langkah pihaknya menguatkuasa pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) mulai 1 April lalu yang memerlukan pengimport mengemukakan lesen import semasa pengikraran borang dapat mengatasi masalah ketirisan cukai.

Beliau berkata, sejak 1 April lalu, pihaknya sudah merampas berpuluh-puluh kontena minuman keras dan rokok dengan nilai cukai beratus juta ringgit.

Berita Harian X