Sabtu, 22 April 2017 | 12:04am

Piala FA: Sarawak gagal ke separuh akhir


PEMAIN import Sarawak, Mateo Roskam menanduk bola ke arah pintu gol Terengganu pada perlawanan Suku Akhir Piala FA di Stadium Negeri malam ini. Kedudukan semasa Sarawak 0 Terengganu 1. - Foto BERNAMA

PETRA JAYA: Impian Sarawak menempah slot ke separuh akhir Piala FA musnah apabila tewas 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.

Dalam perlawanan itu, skuad Bujang Senang terikat 1-1 (agregat 2-2) dengan pelawat sehingga tamat 90 minit saingan.

Kelebihan jaringan di tempat lawan ketika bertandang di Terengganu sebelum ini nyata belum memadai buat skuad kendalian David Usop menyekat kemaraan skuad Penyu.

Meskipun tuan rumah dilihat mendominasi permainan, namun dikejutkan dengan jaringan awal pelawat menerusi Issey Farean Morgan Nakajima pada minit kesembilan.

Tersentak dengan jaringan pembukaan itu, Sarawak kemudiannya memperkemas aksi dengan melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang lawan namun gagal menyempurnakan deretan peluang yang terhidang.

Bersambung babak kedua, Sarawak terus menguasai rentak permainan yang sering kali melepasi pertahanan Terengganu.

Gol penyamaan Sarawak hanya menjelma ketika perlawanan berbaki sepuluh minit menerusi rembatan cantik pemain importnya Demerson Bruno Costa sekali gus mengikat kedudukan.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan buntu untuk mencari gol penamat yang akhirnya mengheret aksi berkenaan ke penentuan sepakan penalti.

42 dibaca
Berita Harian X