Selasa, 25 April 2017 - 4:58AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Piala FA: Negeri Sembilan ke separuh akhir

Oleh Mohd Amin Jalil



AKSI pasukan Negeri Sembilan raikan kelayakan ke separuh akhir ketika bertemu dengan pasukan Sabah perlawanan Suku Akhir 2 Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Negeri Sembilan berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Sabah dengan agregat 1-0 hasil jaringan di tempat lawan, apabila aksi suku akhir kedua Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, berkesudahan seri tanpa jaringan, sebentar tadi.

Biarpun beraksi di hadapan lebih 20,000 penyokong, pemain Negeri Sembilan gagal menembusi benteng Sabah, apabila tiang dan palang menjadi penyelamat lebih empat cubaan terbaik mereka.

Pelawat menerusi gandingan Leopold Alfonso dan Rahman Shah Marjaeh yang memerlukan gol penyamaan bagi memadamkan defisit dilihat berjaya memberikan tekanan cubaan mereka tersasar dan mudah dipatahkan pertahanan tuan rumah.

Begitupun skuad Hobin Jang Hobin yang menurunkan barisan terbaik mereka dalam misi melangkah ke separuh akhir menyandarkan harapan kepada gandingan Bruno Suzuki dan Marko Simic mengemudi jentera serangan.

Kedua-dua tonggak utama itu dilihat berusaha keras memecah bahagian benteng pelawat, namun pergerakan mereka dikawal kemas pertahanan Sabah.

Percubaan terbaik tuan rumah adalah pada minit ke-35, apabila Nemanja Vidic melakukan percubaan tepat ke arah pintu gol Sabah, tapi Rozaimie Rohim berada pada posisi tepat untuk menafikan percubaan berkenaan.

Pada penghujung babak pertama, pintu gol Negeri Sembilan cemas seketika apabila Masaya Jitozono melakukan percubaan tepat ke arah gawang namun Mohd Kaharuddin Abd Rahman berjaya menangkap kemas untuk berkesudahan tamat separuh masa pertama, 0-0.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dilihat memperkemaskan jentera serangan dengan menggandakan asakan ke kubu Sabah dalam misi mendapatkan gol, namun setiap kali percubaan dilakukan barisan serangan tidak menepati sasaran.

Mohd Noor Hazrul Mustapa hampir meletakkan tuan rumah di depan tetapi sepakan percuma dari jarak 25 meter pada minit ke-73, terkena palang.

Usaha kedua-dua pasukan untuk mencari gol terus buntu apabila perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan.


Trending

    Disyorkan