Jumaat, 21 April 2017 | 11:20pm

Piala FA: PKNP tunai janji atasi Kedah di Ipoh


PEMAIN Kedah Mohd Rizal Ghazali (kiri) sedang bersaing mengejar bola dengan pemain PKNP FC Muhammad Shahrel Fikri ketika perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak malam ini. Keputusan Separuh masa pertama PKNP FC 1 Kedah 0. - Foto BERNAMA

IPOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC mengotakan janji apabila menumpaskan Kedah 1-0 dalam suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, sebentar tadi. 

Gol tunggal Mohd Shahrel Fikri pada minit ke-10 menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan, namun Kedah mara ke separuh akhir dengan agregat 6-2.

 

Pasukan Helang Merah mara ke separuh akhir berikutan kejayaan 6-1 di Alor Setar pada aksi pertama 1 April lalu. 

Turun dengan tekad mempertahankan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri, PKNP melakukan serangan sebaik sepak mula dan usaha mereka berjaya apabila Shahrel merembat masuk bola hantaran silang Vincent Lucas.   

Gol itu menyemarak semangat anak buah Abu Bakar Fadzim yang berusaha mencari gol tambahan tetapi tidak berjaya. 

Kedah tidak berdiam diri dan bangkit untuk mencari gol tetapi penjaga gol tuan rumah, Ahmad Asyraaf Omar menjadi penghalang besar kejayaan mereka apabila menyelamat sembilan percubaan lawan.

126 dibaca
Berita Harian X