Jumaat, 21 April 2017 | 11:02pm

Subahan tekad baiki ranking Malaysia


PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto Yazit Razali

IPOH: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berharap dapat meletakkan Malaysia sekurang-kurang ranking ke-10 dunia sebelum tamat tempoh kepimpinannya.

Subahan berkata, skuad hoki negara ketika ini menduduki ranking ke-14 dunia dan usaha sedang dilakukan untuk memperbaiki kedudukan itu.

"Kedudukan Malaysia sepatutnya lebih baik daripada sekarang (14), berbanding Pakistan kerana kita mengalahkan mereka, tetapi entah kenapa Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) tidak meletakkan kita pada kedudukan lebih baik," kata Subahan ketika ditemui pada majlis penyerahan tajaan Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah ke-26 di sini, semalam.

Mengenai kejohanan jemputan itu yang disertai Australia, Great Britain, New Zealand, India, Jepun dan tuan rumah Malaysia, Subahan berkata ia adalah pentas terbaik menguji kemampuan pemain negara sebelum ke kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun ini.

"Sebenarnya semua pasukan di Ipoh ini layak beraksi di London. Jadi kejohanan ini pentas terbaik dijadikan medan terakhir menilai pasukan masing-masing," katanya.

Beliau berkata kecuali Jepun, lima lagi pasukan menduduki ranking lebih tinggi dari Malaysia.

"Justeru, jika kita mampu menamatkan cabaran tiga terbaik, ia sudah boleh dianggap pencapaian yang membanggakan," katanya.

Bagaimanapun, Subahan berharap skuad hoki memanfaatkan kejohanan itu untuk memantapkan diri menjelang kempen di London yang turut menjadi syarat layak ke Piala Dunia d India pada 2018.

15 dibaca
Berita Harian X