Selasa, 25 April 2017 - 10:51AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Siapa pengendali Harimau Malaya?

Oleh Rizar Mohd Noor



PRESIDEN Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat bersama ahli gabungan FAM di Hotel Thistle di Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU: Siapa bakal mengendali skuad Harimau Malaya masih menjadi tanda tanya, selepas Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim belum mahu mendedahkan nama ketua jurulatih skuad itu.

Bagaimanapun, Tunku Ismail mengesahkan sudah mengenal pasti individu yang akan membimbing skuad Harimau Malaya dan perbincangan lebih terperinci diadakan hari ini (semalam).

"Mesyuarat yang saya akan adakan adalah hari ini (semalam). Jadi saya tengok dia adalah individu sesuai untuk memegang jawatan selaku ketua jurulatih Harimau Malaya.

"Buat masa ini saya masih dalam perbincangan dan enggan mendedahkan lagi. Tunggu sahaja pengumuman nanti," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama ahli gabungan FAM di Hotel Thistle di sini, hari ini.

Tunku Ismail secara berseloroh menamakan bekas pemain kebangsaan Khalid Ali selaku jurulatih dan bekas Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar sebagai pengurus tatkala sering memberi komen kepada media.

Sebelum ini, Tunku Ismail menamakan bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia dan Gomez sendiri menamakan ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe selaku penolong jurulatih.

Namun Gomez yang meminta gaji yang tinggi memaksa FAM melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari Argentina itu.

Status Cheng Hoe masih menjadi tanda tanya dan bergantung kepada keputusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sama ada mahu melepaskan jurulatih terbaik 2016 itu.


Trending

    Disyorkan