Jumaat, 21 April 2017 | 8:28pm

Kempen 'RM1 juta Tukar SIM 3G' Maxis

KUALA LUMPUR: Pelanggan Maxis dan Hotlink yang menaik taraf kad SIM 3G kepada kad SIM 4G, kini boleh mengambil bahagian dalam kempen yang menawarkan wang tunai RM1 juta.

Maxis dalam kenyataannya hari ini, berkata ia untuk memastikan pelanggan menikmati pengalaman 4G yang terbaik pada telefon pintar mereka.

"Justeru Maxis memperkenalkan kempen RM1 juta Tukar SIM 3G, di mana ia akan memberi ganjaran berjumlah RM1 juta dalam bentuk tunai kepada pelanggan Maxis dan Hotlink yang menaik taraf kepada kad SIM 4G," kata kenyataan itu.

Bermula Selasa depan (25 April), pelanggan yang berjaya menukar SIM akan secara automatik layak untuk menyertai kempen berkenaan. 

Terdapat tiga pusingan sepanjang tempoh kempen. Pelanggan layak untuk mengambil bahagian dalam ketiga-tiga pusingan, selagi mereka belum menang.

Ini bermaksud lebih awal lagi pelanggan mengambil bahagian, lebih banyak peluang mereka untuk menang. 

Ketiga-tiga pusingan ini masing-masing akan diadakan pada 3 Mei, 16 Mei dan 21 Mei.

Berita Harian X