Selasa, 25 April 2017 - 10:54AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

5,943 Kebenaran PDA dikeluar hingga Disember 2016

Oleh Siraj Mohd Zaini



MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - Foto Rosela Ismail

PELABUHAN KLANG: Sejumlah 5,943 Kebenaran Akta Kemajuan Petroleum (PDA) sudah dikeluarkan sehingga Disember tahun lalu kepada syarikat yang menjalankan aktiviti memasar dan mengedar bahan petroleum.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 3,425 adalah PDA runcit manakala 2,518 lagi bagi sektor komersil.

Katanya, pengeluaran PDA yang semakin meningkat setiap tahun membuktikan KPDNKK sebagai kementerian yang sentiasa mengambil berat dalam memacu perkembangan sektor petroleum negara.

"Kementerian sentiasa berusaha untuk menjadikan sektor perdagangan domestik utama yang berdaya saing, progresif dan mampan.

"Selain itu, KPDNKK juga mahu membangunkan ekosistem perdagangan domestik yang berasaskan persaingan adil, inovatif, beretika. Pada masa sama, kita melindungi kepentingan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kompleks Pengurusan dan Operasi Pandamaran Synergy Petroleum (PSP) Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negara yang juga Pengerusi PSP Group, Datuk Abidullah Salleh.

Hamzah turut melancarkan beberapa produk PSP iaitu minyak pelincir kenderaan bagi tujuan pasaran tempatan dan juga antarabangsa.

PSP yang ditubuhkan pada 2012 itu berjaya membina kompleks berkenaan di atas tanah berkeluasan 1.7 hektar membabitkan nilai pelaburan pembangunan berjumlah RM12 juta.


Trending

    Disyorkan