Jumaat, 21 April 2017 | 5:30pm

POKB bantu pesakit kanser


PRESIDEN Persatuan Orang Kota Bharu, (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad (dua dari kiri) berbual dengan pesakit kanser payu dara, Ooi Geok Hong, 27 (duduk) yang mengidap kanser sejak tahun lalu di Wad Kanser Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Seramai 35 pesakit kanser di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) menerima sumbangan berjumlah RM250 hingga RM500 setiap seorang daripada Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), hari ini.

Sumbangan itu diserahkan menerusi program ramah mesra bersama pesakit yang diadakan setiap tiga atau empat bulan di hospital berkenaan.

Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad, berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban pesakit yang kebanyakan daripada golongan kurang berkemampuan.

"Selain menyampaikan sumbangan, kami juga mengadakan sesi soal jawab di antara pesakit dan doktor pakar bagi menjawab segala kemusykilan mereka terhadap penyakit yang dihidapi.

"Mereka (pesakit) boleh bertanyakan tentang amalan yang mereka perlu lakukan dan tips rawatan untuk melawan penyakit kanser yang dihidapi," katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Pesakit Kanser di Wad 26 HRPZII di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pakar Bedah Endokrin dan Payudara HRPZII, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi.

Sementara itu, isteri pesakit kanser esofagus tahap empat, Nor Aini Osman, 48, berkata penyakit suaminya, Azhan Aziz, 49, sejak tahun lalu memberi ujian berat kepadanya apabila tanggungjawab menjaga enam anak mereka berusia antara lapan hingga 18 tahun.

Beliau yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Chempaka di sini, terpaksa berulang-alik dua kali seminggu dari tempat kerjanya ke HRPZII untuk membolehkan suaminya mendapatkan rawatan kemoterapi.

"Suami bertugas sebagai pembantu pegawai perubatan di HRPZII adalah seorang yang ceria dan rajin melayan kerenah anak-anak sebelum tiba-tiba menjadi kurang aktif.

"Namun saya reda dengan dugaan ini dan tidak akan menyerah walaupun perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada suami, selain menjaga enam anak kami," katanya.

40 dibaca
Berita Harian X