Jumaat, 21 April 2017 | 7:22am

Kecederaan Ibrahimovic bayangi kemenangan United

MANCHESTER: Manchester United mara ke separuh akhir Liga Europa buat pertama kali selepas menewaskan Anderlecht 2-1 dalam masa tambahan, namun berpotensi kehilangan Zlatan Ibrahimovic yang berdepan kecederaan serius.

Tonggak Sweden berusia 35 tahun itu terpaksa dikeluarkan selepas kecederaan lutut kanan dalam perlawanan di Old Trafford dan mungkin tidak bermain lagi musim ini selain United juga bakal kehilangan pertahanan tengah Marcos Rojo.

United bertahan dalam tambahan masa selepas jaringan Marcus Rashford, yang memastikan kemenangan The Red Devils secara agregat 3-2 selepas jaringan pembukaan Henrikh Mkhitaryan disamakan Sofiane Hanni.

Kemenangan sukar itu bermakna skuad kendalian Jose Mourinho masih kekal dalam pemburuan trofi tunggal yang masih belum menjadi koleksi kelab berkenaan.


IBRAHIMOVIC terpaksa dikeluarkan selepas kecederaan lutut kanan dalam perlawanan di Old Trafford. - Foto Reuters


PEMAIN Manchester United, Marcus Rashford (kiri) bersaing dengan pemain Anderlecht, Dennis Appiah dalam aksi Liga Europa di Old Trafford. - Foto Reuters

Namun kecederaan Ibrahimovic dan Rojo bakal memberikan kesan, terutama selepas United kembali bangkit untuk berada dalam kedudukan empat teratas Liga Perdana apabila menewaskan Chelsea, minggu lalu.

Kecederaan Ibrahimovic berlaku pada penghujung masa sebenar apabila lututnya membengkok di kedudukan yang salah ketika dia terjatuh berikutan cabaran dalam kotak penalti Anderlecht menyebabkan dia mengadu kesakitan.

Bekas penyerang Paris Saint-Germain itu yang menjaringkan 28 gol musim ini, masih mampu berjalan di terowong dibantu kakitangan perubatan, namun penyokong United bimbang mereka mungkin melihat aksi terakhirnya musim ini.

Ketiadaannya menimbulkan kesangsian mengenai cabaran United, namun jaringan menakjubkan Rashford pada minit ke-107 memastikan mereka menempah tiket ke kelompok empat terakhir. - AFP

28 dibaca
Berita Harian X