Isnin, 29 Mei 2017 - 7:24PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

MU teratas jana pendapatan EPL RM20b

LONDON: Pendapatan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) mencecah rekod baharu 3.6 bilion pound (RM20.2 bilion) pada musim 2015/2016.

Bagaimanapun, pasukan liga utama masih mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak 110 juta pound (RM618.7 juta), menurut pakar kewangan sukan Deloitte.

Rekod pendapatan itu meningkat sembilan peratus lebih tinggi berbanding musim sebelumnya 3.4 bilion pound (RM19.1 bilion) yang dicatatkan pada kempen 2014/2015, dengan Manchester United dan Manchester City masing-masing menjadi penyumbang terbesar terhadap peningkatan itu.

Pendapatan United meningkat kepada 515 juta pound (RM2.8 bilion) sekali gus berada di kedudukan teratas dalam senarai Deloitte Football Money League buat kali pertama sejak 2003/2004 sebagai kelab yang menjana pendapatan tertinggi di dunia.

Peningkatan kos gaji yang meningkat 12 peratus kepada 2.3 bilion pound (RM12.9 bilion) menjadi faktor utama terhadap kerugian yang dialami 20 kelab elit England.

Ia adalah kali pertama pasukan Liga Perdana mencatatkan kerugian sebelum cukai sejak musim 2012/2013.

Dan Jones, rakan kongsi dan Ketua Kumpulan Perniagaan Sukan di Deloitte, berkata: "Musim 2015/2016 menyaksikan kelab Liga Perdana meningkatkan pendapatan hampir 10 peratus kepada 3.6 bilion pound (RM20.2 bilion), dengan dua kelab Manchester bertanggungjawab menyumbang lebih 50 peratus daripada peningkatan ini.

"Penyertaan Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara musim 2015/2016, ditambah pula dengan pertumbuhan hasil komersil yang kukuh yang berterusan, menyebabkan peningkatan 30 peratus dalam perolehan kepada 515 juta pound (RM2.8 bilion).

"Analisis kami menunjukkan kerugian sebelum cukai kembali dicatatkan selepas dua tahun berturut-turut keuntungan sebelum cukai.

"Bagaimanapun, ini bukan perkara yang membimbangkan kerana ia disebabkan sebilangan kecil kos 'luar biasa' dan kami menjangkakan perjanjian selama tiga tahun menerusi hak penyiaran dalam saingan Liga Perdana Inggeris akan menyaksikan kelab meraih keuntungan untuk musim 2016/2017."

AFP


Trending

    Disyorkan