Isnin, 5 Januari 2015 | 8:19pm
KD Kasturi ketika memasuki kawasan Selat Karimata, Laut Jawa. - Foto Ihsan TLDM.

QZ8501: Cuaca buruk cabaran misi SAR

JAKARTA: Cuaca buruk dan ombak yang tinggi masih menjadi cabaran operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) untuk mencari mangsa nahas dan bangkai pesawat AirAsia IndonesiaQZ8501 yang memasuki minggu kedua ini.

Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), dalam laman webnya, menjelaskan pasukan penyelam tidak dapat mendekati bangkai pesawat yang telah dikesan di dasar laut perairan berhampiran Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah itu ekoran arus dalam laut yang deras dan diselaputi selut tebal.

"Beberapa penyelam mencuba melakukan penyelaman namun kembali lagi kerana kondisi perairan yang tidak memungkinkan keselamatan para rescuer (penyelamat)," kata kenyataan dalam laman web itu.

Operasi menyelam itu tetap akan diteruskan bagi mengesan kotak hitam dan membawa naik beberapa mangsa nahas yang dipercayai masih berada di dalam bangkai pesawat terbabit.

Setakat ini BASARNAS mengesahkan sebanyak 37 mayat telah ditemui dan daripada itu sembilan mayat telahpun diserahkan kepada waris masing-masing.

Operasi SAR yang dikendalikan BASARNAS dengan bantuan beberapa buah negara termasuk Malaysia, hari ini juga menemui tiga lagi serpihan bangkai pesawat terbabit.

Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi 28 Disember lalu dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama.

Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, Korea Selatan (tiga) dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan United Kingdom.

Kru terdiri daripada enam wrga Indonesia dan seorang Perancis.

- BERNAMA

29 dibaca
Berita Harian X