Rabu, 19 April 2017 | 7:05am

Kanun ditala rambang sukar lawan terrorisme


SEORANG anggota polis mengacukan senapang ke arah seorang lelaki di atas tanah susulan insiden serangan di luar Parlimen Britain, akhir bulan lalu. - Foto AP

SIFAT dan bentuk keganasan yang beragam menjadikan fenomena terrorisme kini sukar difahami dan dibasmi. Serangan bersendirian tanpa senjata berat di kota London, baru-baru ini, misalnya, menunjukkan betapa jenayah sebegitu mudah dilancarkan di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja.

Jadi, usaha melawan memerlukan strategi menyeluruh mencakupi semua lapangan. Pemerkasaan undang-undang adalah satu upaya melawan keganasan. Undang-undang khas antiterrorisme dan peruntukan tambahan dalam kanun sedia ada dibuat bukan sahaja untuk menghukum namun juga mencegah keganasan.

Undang-undang baharu antikeganasan digubal bertujuan membasmi kegiatan mendorong atau memudahkan aktiviti keganasan. Contohnya, memberi sokongan material atau moral kepada kumpulan pengganas dan perbuatan keganasan, dan tindakan menyembunyi maklumat berkaitan tindakan keganasan. Perbuatan ini dipanggil kesalahan pendahulu, termasuk memiliki bahan berkait keganasan. Matlamat pengharaman bahan berkait keganasan dapat difahami melalui beberapa aspek.

Pertama, tindakan itu bersifat pencegahan bagi menghalang berlakunya insiden keganasan sejak awal. Kedua, tindakan ini tindak balas fenomena terrorisme. Pendekatan sebegini bukan asing di negara kita, bahkan dapat dilihat dalam usaha menangani jenayah lain. Misalnya, seseorang boleh didakwa dan dihukum jika memiliki alat memproses candu atau perkakasan memecah rumah. Pada 2015, Parlimen meluluskan pindaan Kanun Keseksaan dengan memasukkan Seksyen 130JB, menjadikan pemilikan bahan berkaitan pengganas atau perbuatan ganas sebagai kesalahan jenayah boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda. Ada dua kategori bahan terlarang.

Pertama, sebarang bahan dalam bentuk cetakan, rakaman visual, bendera dan simbol berkait kumpulan pengganas. Misalnya, beberapa individu sudah didakwa kerana memiliki risalah Daesh. Kategori kedua, memiliki objek berkait perbuatan keganasan, sama ada bagi tujuan persiapan, perancangan atau latihan. Contohnya, memiliki bahan kimia atau buku panduan membuat bahan letupan. Undang-undang berhubung pemilikan bahan ini mirip undang-undang di United Kingdom dan Australia. Namun, ada perbezaan ketara. Seksyen 57 dan 58 Terrorism Act 2000 United Kingdom memberi penekanan hubung kait bahan itu dengan perbuatan keganasan.

Dalam satu kes di sana, R v G& J (2009), mahkamah memutuskan milikan bahan berkaitan kumpulan atau ideologi pengganas semata-mata tanpa sebarang tujuan untuk lancar keganasan bukan satu jenayah. Seperti perundangan lain, undang-undang berhubung milikan bahan keganasan di Malaysia wajar disemak dari semasa ke semasa demi memastikan ia berfungsi secara adil dan efektif.

Dua syor ingin diketengahkan di sini. Pertama, Seksyen 130JB tidak menyatakan mengenai elemen mens rea atau niat melakukan jenayah. Hal ini beri gambaran seolah-olah memiliki bahan berkait keganasan adalah jenayah berliabiliti mutlak. Lantas, siapa sahaja ditahan memiliki bahan keganasan boleh disabitkan kesalahan di mahkamah, biarpun tidak tahu perihal atau kaitan bahan itu dengan pengganas. Walaupun mahkamah berkuasa beri tafsiran lebih baik, undang-undang wajar menyatakan dengan jelas perihal kesalahan demi proses pengadilan. Hakim Mahkamah Tinggi, Siti Noor Aishah Atam, bertindak proaktif dengan merujuk kepada gugusan kes milikan dadah dan memutuskan tertuduh perlu dibuktikan mempunyai kawalan dan juga pengetahuan.

Tiada elemen niat

Ketiadaan elemen niat dalam peruntukan ini pernah dibangkitkan di Dewan Rakyat ketika penggubalannya. Yang Berhormat Timbalan Menteri yang bertanggungjawab membentangkan undang-undang itu beri jaminan hal ini akan dirujuk semula kepada Peguam Negara.

Sebagai perbandingan, undang-undang Australia jelas menyatakan seseorang hanya boleh disabitkan jika terbukti tahu perkaitan bahan itu dengan keganasan. Niat adalah unsur penting dalam undang-undang jenayah dan 'animus possidendi' adalah prinsip ampuh dalam Common Law. Dalam era media sosial dan WhatsApp ini, kadangkala tanpa sedar imej seperti bendera Daesh tersimpan dalam telefon bimbit kita. Cadangan kedua adalah memasukkan penyataan pengecualian secara terang terhadap golongan tertentu atau pemilikan bagi tujuan yang sah di sisi undang-undang. Ada banyak contoh dalam undang-undang sedia ada jelas menyatakan sabitan dan hukuman tidak boleh dikenakan ke atas seseorang yang ada alasan sah atau munasabah memiliki suatu bahan.

Miliki dengan kebenaran

Misalnya, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 beri pengecualian jika seseorang itu memiliki bahan terlarang dengan kebenaran pihak berautoriti atau untuk tujuan sah di sisi undang-undang. Ini amat penting bagi memastikan usaha membanteras dapat dituju tepat pada sasarannya dan tidak berlaku pembaziran tenaga dan kos.

Di samping itu, pengkaji terorisme, wartawan dan orang awam yang terbabit melawan terrorisme juga terdedah kepada risiko dituduh melakukan kesalahan jenayah ini. Situasi ini dilihat merugikan negara kerana perencanaan melawan terrorisme menuntut kepakaran dan pembabitan pelbagai pihak. Undang-undang yang tidak jelas dan bersifat rambang menjadikan mereka lebih berhati-hati, bahkan lebih malang lagi jika mereka terus menjauhkan diri daripada turut serta membasmi keganasan. Undang-undang jenayah bersifat pencegahan amat penting bagi membanteras keganasan pada peringkat awal.

Penggubalan undang-undang jenayah yang jelas amat perlu bagi memastikan penguatkuasaan dan pelaksanaannya berkesan, telus dan adil. Undang-undang yang ditala rambang tanpa membidik pada sasaran sebenar buka ruang manipulasi kepada pihak tertentu, termasuk pengganas.

Maka penambahbaikan dari semasa ke semasa diperlukan agar usaha melawan terrorisme tidak sia-sia atau mendatangkan lebih mudarat.

Konflik ketenteraan global boleh meletus dek persaingan kuasa dan geopolitik kuasa besar dunia, terutama Amerika Syarikat dan Russia. Ikuti pandangan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis, yang mengupas isu ini, esok.

Mukhriz Mat Rus

Penulis ialah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini berkhidmat di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

36 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »