;
Selasa, 18 April 2017 | 6:42am

Pengerusi Lotte didakwa dalam skandal rasuah


Pengerusi gergasi runcit Lotte, Shin Dong-Bin (tengah) dituduh ada kaitan dengan skandal rasuah yang menjatuhkan bekas Presiden Park Geun-Hye. - Foto Reuters

SEOUL: Pendakwa raya Korea Selatan semalam mendakwa pengerusi gergasi runcit Lotte dalam kaitan dengan skandal rasuah yang menjatuhkan bekas Presiden Park Geun-Hye.

Shin Dong-Bin dituduh menggunakan lebih AS$6 bilion (RM26.43 bilion) untuk merasuah Geun-Hye dan rakan baiknya, Choi Soon-Sil, kata pendakwa raya pada hari sama mereka mendakwa bekas presiden itu atas tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ding-Bin, 62, didakwa menawarkan 7 bilion won (RM27.09 bilion) kepada sebuah yayasan sukan dikaitkan Soon-Sil sebagai pertukaran dasar pilih kasih daripada Geun-Hye berhubung perniagaan bebas cukai Lotte.

Soon-Sil kini dibicarakan atas tuduhan memeras ugut dan salah guna kuasa. Dia didakwa menggunakan hubungan baiknya dengan presiden untuk memaksa firma tempatan 'menderma' hampir AS$70 juta (RM308.31 juta) kepada yayasan bukan berasaskan keuntungan di mana dia didakwa menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

Pendakwa raya berkata, kini Soon-Sil berdepan dakwaan tambahan rasuah membabitkan Dong-Bin.

Geun-Hye dituduh bersekongkol dengan Soon-Sil dan menawarkan dasar pilih kasih kepada ahli perniagaan terkemuka yang menyumbang kekayaan kepada rakannya itu.

Dakwaan berkenaan termasuk membabitkan Dong-Shin dan pewaris Samsung, Lee Jae-Yong yang ditahan sebelum itu serta dibicarakan atas tuduhan rasuah. - AFP

173 dibaca
Berita Harian X