Rabu, 28 Jun 2017 - 6:29PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Khidmat demi manfaat rakyat

Oleh Datuk Mohd Roslan Mahayudin


MENJUNJUNG Aspirasi Negaraku, tema ini dipilih sempena Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Ke-45, yang disambut semalam, setiap tahun. Pemilihan tema ini menunjukkan kesetiaan dan kesungguhan anggota penguat kuasa mendukung cita-cita kerajaan, sentiasa berdiri teguh sebagai tulang belakang pentadbiran dalam apa juga keadaan mahupun rintangan. 

  Bermula selepas perang dunia kedua berakhir ketika Persekutuan Tanah Melayu di bawah pentadbiran British, kawal selia ke atas harga barangan sudah diperkenalkan melalui Ordinan Kawalan Harga 1946. Badan bertanggungjawab mengawal selia ketika itu ialah Jabatan Kawalan Harga, sehingga digabungkan dengan Jabatan Bekalan pada 1974 dan seterusnya pada April 1956, setahun sebelum merdeka, Jabatan Bekalan diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan yang baru ditubuhkan.

Pada awal 1971, semua pegawai Jabatan Bekalan menyertai agensi baharu ditubuhkan, iaitu Lembaga Padi dan Beras Negara, menyebabkan Ordinan Kawalan Harga dan Ordinan Kawalan Bekalan tidak dapat dikuat kuasa kerana ketiadaan kakitangan. Pada masa sama, krisis ekonomi melanda dunia akibat kenaikan harga minyak selepas tertubuhnya Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), yang beri kesan buruk sehingga kadar inflasi meningkat kepada 18 peratus.

Rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan banjir besar 1971 turut mengganggu kedudukan bekalan serta pengedaran selain harga barang keperluan seluruh negara. Rentetan itu, kerajaan buat penyusunan semula dan nama kementerian diubah kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI). Ekoran penyusunan semula dan atas usaha gigih Menteri Perdagangan dan Industri ketika itu, Mohamed Khir Johari, Bahagian Penguat Kuasa ditubuhkan pada 17 April 1972, di bawah MTI dengan objektif membantu kerajaan membendung inflasi ketika itu.

Pada 27 Oktober 1990, kementerian itu distruktur semula kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), manakala Bahagian Penguat Kuasa diletakkan di bawah KPDNHEP, kini dikenali sebagai KPDNKK.

Visi bahagian penguat kuasa

Dengan wawasan 'Meneraju Penguatkuasaan Bagi Memacu Perdagangan Domestik Beretika dan Melindungi Pengguna' dan bermisi 'Membanteras Penyelewengan Perdagangan Dalam Negeri', tugas penguat kuasa dilihat lebih mencabar. Bahagian ini adalah agensi penguatkuasaan yang menjadi tonggak mengawasi kedudukan harga serta bekalan barang-barang perlu, melindungi harta intelek, hak pengguna, membanteras penyelewengan barang bersubsidi dan mendepani isu kos sara hidup.

Mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap penguat kuasa, yang mana mereka dilihat tidak main peranan bagi membantu rakyat sebagai pengguna, maka pendekatan Feel Good Factor diperkenal sebagai strategi menukar minda dan persepsi terhadap penguat kuasa. Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK sentiasa komited dalam memastikan penguatkuasaan cekap dengan memperkenal konsep penguatkuasaan seimbang sebagai satu strategi mendepani cabaran dan isu berhubung persepsi pengguna dan peniaga.

Pendekatan penguatkuasaan seimbang adalah keberadaan, keberkesanan penguatkuasaan dan peningkatan pematuhan perundangan oleh peniaga, yang mana kami tempatkan pegawai di lapangan bagi meraih keyakinan pengguna dan kepercayaan peniaga. Kami juga memastikan keberkesanan penguatkuasaan dan peningkatan tahap pematuhan perundangan menjadi sasaran, bertepatan slogan 'We Care, We Enforce, Caring Ministry'.

Unit Bergerak menggunakan van dinamakan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) membuktikan kami boleh ditemui di mana sahaja, menangkis pandangan sinis tahap keprihatinan kerajaan amnya dan KPDNKK khasnya. Pengguna rasa ada agensi membantu, manakala peniaga menjalankan perniagaan secara beretika. Jika pada musim perayaan, kami tempatkan penguat kuasa di kawasan hotspot bagi membendung salah laku peniaga.

Masalah integriti penguat kuasa juga hangat diperkatakan, namun di bahagian penguat kuasa ada Check and Balance untuk atasi masalah itu. Langkah pencegahan tegas dan tidak bertolak ansur dengan pegawai atau anggota terbabit dengan isu integriti ditekankan. Ada juga akta, prosedur kerja dan arahan perlu dipinda supaya selari perkembangan semasa dan kami amat peka supaya ia sentiasa diperkemas selain meningkatkan ilmu pengetahuan penguat kuasa dengan memberi latihan asas serta lanjutan supaya bertindak dengan saksama lagi bijak. Bahagian Penguat Kuasa turut menjalin kerjasama strategik melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), iaitu menyelaras hubungan inter-agensi dan mewujudkan kerjasama antara agensi dalam tugasan dan tindakan penguatkuasaan. 

Antara kerjasama strategik membabitkan KPDNKK dan agensi lain seperti Penghulu/Penggawa, RELA, APMM, PDRM, NGO dan terkini dengan pasukan Polis Marin (PPM), menunjukkan kepada rakyat semua agensi boleh bekerjasama dalam menyokong aspirasi negara selain dapat menjimatkan perbelanjaan dan berkongsi kecekapan.

Teknologi bahagian

Pusat Maklumat dan Gerakan Strategik (PIGOS) dipertingkatkan untuk berperanan sebagai pusat penyelarasan kegiatan penguatkuasaan serta menerima aduan orang ramai melalui telefon. Bahagian ini turut membangunkan Pusat Operasi Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (POGI) sebagai pusat koordinasi antara POGI dengan pegawai operasi di lapangan, menggunakan Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) sebagai perantaraan perhubungan.

Ia juga menjadi perantaraan komunikasi saling berhubungan antara agensi peguatkuasaan kerajaan lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan PDRM yang turut menggunakan GRIN sebagai pentas komunikasi. 

Adalah menjadi harapan saya supaya semua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK di setiap peringkat memberi perkhidmatan terbaik, profesional, mempertingkatkan kemahiran, menjaga disiplin sepenuhnya, berintegriti sepanjang masa dan sentiasa amal nilai murni dalam menjalankan tugas diamanahkan dan kita akan terus kekal relevan membantu pengguna serta peniaga.

Penulis adalah Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)


Trending

    Disyorkan