Rabu, 28 Jun 2017 - 6:45PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Gantung tidak bertali aniaya isteri

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof



Apabila lafaz nikah dimeterai, bermakna bermulalah tanggungjawab suami melindungi hak isteri. - Gambar hiasan

Dalam kehidupan rumah tangga, ujian sentiasa hadir seperti air yang mengalir. Dugaan rumah tangga yang paling hebat ialah pergaduhan sehingga berlaku perceraian.

Dalam institusi rumah tangga, haram hukumnya suami mendatangkan mudarat kepada isteri tanpa ada sebab yang hak, kerana mendatangkan mudarat kepada orang lain adalah suatu kezaliman. Melakukan kezaliman adalah haram kerana Allah tidak menyukai orang yang berlaku zalim.

Allah SWT berfirman bahawa: "Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka mendekati akhir idahnya, maka rujuklahmereka dengan cara yang ma'ruf, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang ma'ruf (pula). Janganlah kamu rujuk mereka untuk memberi kemudaratan, kerana dengan demikian kamu menganiaya mereka. Barang siapa berbuat demikian, maka sungguh ia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Janganlah kamu jadikan hukum-hukum Allah permainan, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu iaitu al-Kitab dan al-Hikmah. Allah memberi pengajaran kepadamu dengan apa yang diturunkan-Nya itu. Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah Al-Baqarah, ayat 231).

Ayat itu melarang suami yang berniat untuk memberi mudarat kepada isteri. Suami yang menjatuhkan talak kepada isteri diperintahkan sama ada kembali (rujuk) kepada isteri tanpa ada tujuan untuk memudaratkan atau melepaskan isteri sehingga selesai idahnya.

Perceraian adalah diharuskan, namun ia perkara yang paling dibenci Allah SWT. Jika seseorang suami melafazkan talak kepada isterinya, perbuatan itu tidak berdosa namun ia dibenci Allah.

Ketika menyambung kembali perbincangan mengenai '40 Ayat Al-Quran Berkenaan Keluarga' dalam rancangan Pesona D' Zahra yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, berkata terdapat tiga situasi yang bakal berlaku apabila pasangan memasuki fasa perceraian.

Perceraian boleh membawa kepada kemudaratan kerana perceraian memberi impak terhadap kehidupan semua pihak dalam institusi rumah tangga.

Sama ada pada pihak pasangan suami isteri, anak mahupun keluarga kedua-dua belah pihak. Namun begitu, apa yang terkesan sekali ialah anak yang sedang membesar.

Kemurungan selepas cerai

Bagaimana anak yang masih mentah hendak menghadapi situasi keluarga yang pincang pada usia masih belum mengenal erti kehidupan. Bukannya mudah menyesuaikan diri selepas perceraian. Kesukaran menyesuaikan diri menyebabkan ramai pasangan bercerai mengalami kemurungan, rasa rendah diri dan sebagainya kerana kegagalan perkahwinannya.

Seterusnya, perceraian yang berlaku juga boleh mengundang kepada fitnah. Umumnya, fitnah bukanlah satu fenomena yang baru wujud dalam masyarakat kita, malah fitnah telah menjadi permainan dan satu perkara yang seolah-olah wajib dilakukan oleh setiap orang.

Penyebaran fitnah dapat dilakukan dengan mudah dalam era komunikasi moden sekarang. Perkara ketiga adalah perceraian timbul kerana ada pihak tidak menunaikan hak yang sepatutnya.

Dalam situasi ini, akan timbul beberapa isu yang akan dibangkitkan iaitu mendapatkan kembali mahar yang tertangguh, iaitu mahar yang masih belum dijelaskan oleh pihak suami semasa perkahwinan, nafkah idah, mutaah, tunggakan nafkah dan apa-apa hutang yang dibuat oleh suami sepanjang perkahwinan.

Di samping itu, kedua-dua pihak sama ada suami ataupun isteri boleh untuk menuntut harta sepencarian yang diperoleh selepas perkahwinan begitu juga dengan penjagaan anak (hadanah) selepas berlakunya perceraian.

Ada ikatan perkahwinan yang terlerai kerana tiada lagi persefahaman antara kedua-dua suami isteri. Ekoran tiada lagi persefahaman, maka perpisahan menjadi jalan penyelesaian yang terbaik.

Dalam soal perceraian kaum lelaki diingatkan agar melihat secara lebih mendalam beberapa aspek. Pertama, dia harus sedar bahawa perceraian itu bukan satu-satunya jalan penyelesaian.

Selain dibenci oleh Allah SWT, ia disifatkan sebagai jalan terakhir yang boleh diambil apabila segala usaha untuk memperbaiki keadaan rumah tangga itu menemui jalan buntu.

Perkara seterusnya yang perlu diambil perhatian sewajarnya oleh suami adalah perlu berusaha sedaya upaya mempertahankan rumah tangga walaupun isteri memohon cerai atau dipaksa oleh pihak tertentu tanpa sebab yang munasabah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Mana-mana wanita (isteri) meminta cerai dari suaminya tanpa ada suatu desakan, haram ke atasnya mencium bau syurga (yakni akan ditegah daripada mencium bau syurga)." (Riwayat Abu Dawud)

Langit tidak selalunya cerah. Ada kalanya panas dan hujan. Tidak kurang juga mendung dan ribut. Demikianlah juga keadaannya dengan alam perkahwinan dan rumah tangga. Bahagia atau derita, lumrah kehidupan suami dan isteri.

Gantung isteri tak bertali

Kita sering mendengar seorang isteri mengadu dia digantung tidak bertali. Ia adalah satu perbuatan yang dilakukan oleh suami dengan meninggalkan isteri dan anak tanpa memberi sebab dan tanpa memberitahu di mana dia berada.

Justeru, dalam isu sebegini suami disaran untuk memiliki sifat tanggungjawab yang tinggi. Elakkan menzalimi isteri sehingga mengabaikan hak isteri dari segi nafkah atau keperluan.

Allah SWT sama sekali tidak suka sesuatu perkara yang tidak baik berlaku dalam rumah tangga yang dibina, kerana itu, salah satu suruhan-NYa ke atas suami ialah bergaul dengan isteri dengan cara yang baik.

Penulis adalah Penerbit Kanan Rancangan IKIMfm


Trending

    Disyorkan