Rabu, 28 Jun 2017 - 6:29PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

'Dah cakap, tapi pemain muda tak berubah'

Oleh Datuk Lee Chong Wei



Jaguh Badminton Negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Mungkin belum terlambat untuk saya mengucapkan terima kasih kepada peminat badminton negara, khususnya di Sarawak di atas sokongan padu yang diberikan sepanjang saya beraksi pada saingan Terbuka Malaysia di Kuching yang berakhir, minggu lalu.

Saya difahamkan, bukan sahaja peminat di Kuching yang hadir ke stadium tetapi dari seluruh pelusuk Sarawak, termasuk dari Sibu dan Miri yang sanggup mengharungi perjalanan jauh semata-mata tidak mahu terlepas peluang menyaksikan saingan Terbuka Malaysia tahun ini. Saya kagum dengan sokongan yang diberikan mereka.

Malah, apa yang paling mengejutkan, Stadium Perpaduan Kuching hampir penuh dengan kehadiran penonton sejak seawal pusingan pertama lagi. Ia mencetuskan fenomena baharu kerana sebelum ini bermain di Kuala Lumpur penonton hanya akan mula membanjiri stadium bermula saingan separuh akhir, diikuti final.

Namun, di Sarawak jelas berbeza. Ia petanda yang positif bagi mempromosikan sukan badminton di Malaysia. Mungkin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas ini boleh memikirkan venue lain selain Kuala Lumpur untuk menjadi tuan rumah kepada saingan Terbuka Malaysia.

Saya tahu peminat semua kecewa kerana saya kalah kepada Lin Dan di laman sendiri pada aksi final tetapi sebagai pemain saya perlu terima kerana setiap perlawanan pastinya ada adat menang dan kalah. Keyakinan saya menurun di set kedua selepas tewas di set pertama. Apa pun saya sudah melakukan yang terbaik.

Pertembungan saya dengan Lin Dan pada aksi final sememangnya dinantikan peminat seluruh dunia selepas kali terakhir kami bertemu pada separuh akhir Olimpik Rio 2016. Saya perlu akui, Lin Dan bermain dengan baik sepanjang perlawanan. Kemahuannya cukup tinggi untuk menjuarai Terbuka Malaysia buat kali pertama. Tahniah saya ucapkan kepada Lin Dan.

Seperti saya, Lin Dan juga belum mengumumkan bila dia akan bersara. Saya percaya kami masih boleh memberikan sesuatu kepada sukan badminton. Kehadiran kami pastinya boleh memastikan persaingan sihat dalam sukan ini, terutama kepada pemain yang sedang meningkat naik.

Tekad menang tahun depan

Walaupun saya gagal merekodkan kejuaraan ke-12 Terbuka Malaysia kali ini, saya bertekad untuk cuba memenanginya pada edisi tahun depan. Saya akan kembali.

Saingan Terbuka Malaysia kali ini juga meninggalkan 1,001 cerita buat barisan pemain negara. Saya tahu peminat juga kecewa di atas kekalahan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada pusingan pertama. Namun, saya pasti mereka sudah melakukan yang terbaik.

Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, bukan mudah untuk beraksi di laman sendiri terutama di hadapan ramai penyokong. Tekanan itu pasti ada, cuma sebagai pemain kita perlu bijak mengatasi tekanan.

Sebagai pemain, kemahuan untuk menghasilkan keputusan positif apabila beraksi dalam kejohanan, terutama di hadapan penyokong sendiri pastinya tinggi. Namun, jika kita tersilap langkah, perkara itu boleh memakan diri sendiri. Sikap terburu-buru ketika berada di dalam gelanggang boleh menjejaskan permainan kita.

Jadi, saya harap semua pemain negara menjadikan kegagalan di Terbuka Malaysia kali ini sebagai pengajaran dan bangkit pada kejohanan seterusnya.

Saya sebenarnya tertarik dengan kejayaan pemain muda Korea Selatan, Jin Jeon Hyeok yang berjaya mara sehingga suku akhir dan seterusnya menjadi lawan saya bagi perebutan tempat ke separuh akhir. Jeon Hyeok ialah pemain yang ditewaskan pemain muda negara, Soo Teck Zhi ketika aksi final Kejohanan Remaja Asia 2013 di Kota Kinabalu, Sabah.

Jika dibandingkan dengan Teck Zhi yang gagal melepasi pusingan pertama, Jeon Hyeok pula boleh mendabik dada di atas kejayaannya mara ke suku akhir. Bukan sahaja Korea Selatan, pemain muda dari China, Jepun dan Denmark juga menunjukkan peningkatan ketara. Mereka kini sudah boleh bersaing dengan kelompok pemain utama dunia. Tetapi di mana pemain muda kita?

Gagal hasilkan keputusan positif

Masalah ini bukannya perkara baharu, sudah banyak kali diperkatakan. Semua kemudahan dan peluang sudah diberikan kepada pemain muda kita tetapi masih gagal menghasilkan keputusan yang positif.

Ketika saya bergelar pemain junior, saya perlu menewaskan pemain senior untuk mendapat peluang beraksi dalam kejohanan antarabangsa. Namun, pemain muda kita sekarang biarpun tewas tetap dihantar beraksi dalam kejohanan antarabangsa. Hidup mereka lebih mudah sekarang berbanding saya dahulu.

Tiga jurulatih perseorangan kita, Hendrawan, Tey Seu Bock dan Indra Wijaya sudah bekerja keras bagi membantu pemain dan saya juga ada membantu. Sekarang bergantung kepada pemain sendiri... cakap pun sudah cakap, peluang pun sudah diberi, namun semua terletak di tangan pemain. Saya tengok sekarang kemahuan mereka tidak cukup tinggi.

Ketika di Kuching, ada wartawan yang bertanya kepada saya, sampai bila peluang perlu diberikan kepada pemain muda negara dan adakah sudah tiba masanya untuk mereka diambil tindakan?

Sebenarnya, hanya BAM yang berhak untuk buat keputusan. Saya pasti pihak persatuan tahu apa yang terbaik untuk badminton negara.

Penulis adalah pemain badminton nombor satu dunia


Trending

    Disyorkan