Ahad, 16 April 2017 | 12:59pm

Hubungan PAS-PKR dimuktamadkan di Muktamar


Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh memberi ucapan dan merasmikan Konvensyen PAS Negeri Pulau Pinang tahun 2017 di Dewan Seminar Kompleks Yayasan An- Nahdhoh, Permatang Pauh, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Ramdzan Masiam

BUKIT MERTAJAM: PAS dijangka memuktamadkan cadangan memutuskan kerjasama politik dengan PKR pada Muktamar parti itu yang dijadual berlangsung akhir bulan ini.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, berkata perbincangan mengenai perkara itu akan dibuat dan diteliti sepenuhnya pada Muktamar PAS, sebelum dimuktamadkan.

Katanya, perbincangan berhubung memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dijangka tidak dibawa ke peringkat Majlis Syura.

"Setakat ini tiada perkembangan terbaru mengenainya dan saya dimaklumkan ia akan dibincangkan pada Muktamar kali ini.

"Saya yakin perkara ini dapat dimuktamadkan sepenuhnya di Muktamar dan tidak dipanjangkan ke Majlis Syura seperti sebelum ini.

"Apa yang saya boleh kata, Muktamar kali ini berlainan dengan sebelumnya dan banyak perkara serta isu hangat akan dibangkitkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di sini, hari ini.

21 dibaca
Berita Harian X