Ahad, 16 April 2017 | 6:20am
Portal Happy Planet Index di http://happyplanetindex.org/countries/malaysia/

Apa relevan indeks kebahagiaan?


- Gambar hiasan

Dalam satu forum mengenai peranan dan kewajipan pihak berkuasa tempatan (PBT), ahli panel ditanya oleh peserta apakah sebenarnya indeks kebahagiaan itu dan apakah ia masih relevan? Mengikut portal Happy Planet Index (http://happyplanetindex.org/countries/malaysia/), tahap kebahagiaan sesebuah negara dinilai mengikut kriteria tertentu selain kedudukan ekonomi, iaitu harapan jangka hayat; kesejahteraan; kesan kepada alam sekitar dan ketidaksamaan.

Indeks kebahagiaan ini adalah inisiatif The New Economics Foundation (NEF) yang membuat penilaian tahunan ke atas lebih 150 negara bagi menentukan negara mana 'paling bahagia'. Menurutnya, model pembangunan di banyak negara Barat ketika ini menunjukkan ia bukan sesuatu yang lestari. Oleh itu, dunia mesti cari model lain yang lebih mementingkan kesejahteraan rakyat.

Minat masyarakat antarabangsa terhadap isu kebahagiaan ini bermula pada 20 Mac 2012 selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkannya sebagai Hari Kebahagiaan Dunia dengan menyatakan 'kebahagiaan dan kesejahteraan adalah matlamat universal dan aspirasi setiap insan di seluruh pelusuk dunia.'

Dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2015, lima negara paling bahagia adalah Switzerland, Iceland, Denmark, Norway dan Kanada. Laporan itu adalah kali ketiga, selepas PBB menyiarkan laporan kali pertama pada 2012. Dalam laporan 2015, Amerika Syarikat (AS) di tangga ke-15 manakala United Kingdom (UK) di tangga ke-21.

Dalam laporan 2016 membabitkan 157 negara, lima negara teratas adalah Denmark, Switzerland, Iceland, Norway dan Finland. AS berada di tangga 13 manakala UK, 23. Malaysia berada di tangga 47. Dalam laporan terbaru dilancarkan 20 Mac lalu, tahap kebahagiaan 155 negara dianalisis lagi, menunjukkan Norway teratas diikuti Denmark, Iceland, Switzerland, Finland, Belanda, Kanada, New Zealand, Australia dan Sweden. Tiada satu pun negara Asia dan Afrika dalam senarai 10 teratas.

Antara ciri utama 10 negara teratas ini adalah prihatin, kebebasan, kemurahan, kejujuran, kesihatan, pendapatan dan tadbir urus yang baik.

Lain-lain negara Barat menduduki tangga berbeza, AS di tangga 14, Jerman (16), Belgium (17), Luxembourg (18), UK (19), Brazil (22), Mexico (25), Perancis (31), Poland (46) manakala di Asia pula Singapura di tangga 26, Thailand (32), Taiwan (33), Malaysia (42), Jepun (51), Korea Selatan (56), Hong Kong (71), Filipina (72), China (79), Vietnam (94), Mongolia (100), Bangladesh (110), Myanmar (114), India (122) dan Kemboja, 129. Lima tercorot adalah Rwanda (151), Syria (152), Tanzania (151), Burundi (154) dan Republik Afrika Tengah (155).

Laporan itu melihat kepada lima faktor - tahap pendapatan, pendidikan, pekerjaan/pengangguran, kehidupan berkeluarga, kesihatan fizikal dan kesihatan mental. Kesimpulan awal yang boleh dibuat selepas membaca laporan ini adalah di sesetengah negara Barat yang pendapatan rakyatnya tinggi, masalah dihadapi pihak berkuasa adalah kesihatan fizikal dan mental rakyatnya.

Masalah negara mundur

Bagi negara lain disifatkan masih mundur atau belum pesat membangun, selain isu ekonomi, masalah dihadapi adalah isu kebebasan (hak asasi) dan kejujuran (salah guna kuasa dan rasuah). Pengarah Program Kesejahteraan di London School of Economics' Centre for Economic Performance, Prof Richard Layard, menyatakan: "Di negara kaya, sebab utama penderitaan rakyat adalah penyakit mental,"

Mengulas kedudukan AS dalam laporan 2017 ini, stesen televisyen Bloomberg menyatakan 'duit tidak boleh membeli kebahagiaan'. Walaupun negara itu berjaya memperbaiki kedudukan ekonominya, meningkatkan pendapatannya dan mengurangkan pengangguran, rakyatnya makin kurang bahagia. "Krisis di AS adalah satu krisis sosial, bukan satu krisis ekonomi," katanya lagi.

Mengikut portal MURNInets (http://murninet.townplan.gov.my/murninets/page/kt3-p6-indeks-kebahagian) 'Indeks Kebahagiaan' adalah mekanisme mengukur tahap kesejahteraan penduduk lebih menyeluruh merangkumi tahap kesihatan mental dan fizikal. Setiap orang ada tahap persepsi dan tafsiran mengenai persekitaran penempatannya, seperti perasaan selamat, kepuasan hidup, kecukupan kemudahan disediakan kerajaan, kecekapan pentadbiran kawasan dan sebagainya.

Menduduki tangga 42 (dari 155 negara) dalam senarai laporan 2017 ini, Malaysia atasi banyak negara Eropah lain seperti Poland, Itali, Russia, Romania, Kazakhstan dan Portugal. Kita juga mengatasi beberapa negara Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Filipina, China dan Indonesia serta banyak negara di benua Afrika dan Latin Amerika.

Pastinya ia sesuatu yang boleh kita banggakan, sekali gus menguatkan lagi komitmen untuk terus memperbaiki kedudukan kita pada masa depan. (Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/World_Happiness_Report). Selepas menjawab soalan peserta forum mengenai maksud dan kerelevanan indeks kebahagiaan dalam konteks pentadbiran masa kini, ahli panel itu menceritakan bahawa pada satu hari ketika dia memandu kereta di sebuah bandar di utara negara ini, dia ditemui oleh seorang wanita tua yang pada masa itu sedang menyorong satu basikal usang.

Wanita itu mengetuk pintu keretanya ketika dia berhenti di satu persimpangan kerana lampu isyarat merah. Selepas cermin tingkap kereta diturunkan, wanita itu memberi salam lalu dalam nada sayu merayu meminta sedikit wang 'untuk beli beras.' Ahli panel forum itu tergamam dan sebak di dada, lalu segera hulur sedikit wang kepada wanita itu.

Selesai menceritakan pengalamannya, ahli panel itu berkata: "Kita boleh baca apa yang dilaporkan, tetapi tidak boleh berhenti di situ sahaja. Kita perlu teliti sendiri situasi sebenar untuk mengetahui apakah laporan berkenaan betul-betul menceritakan situasi sebenar."

Penulis adalah Pengamal Undang-Undang dan bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

38 dibaca
Berita Harian X