Ahad, 16 April 2017 | 6:13am

Mulut tak dikawal punca ke neraka


Salah satu cara menjaga interaksi dengan manusia ialah dengan memelihara mulut atau lisan. - Gambar hiasan

Tiga hari penting dalam hidup iaitu hari kita dilahirkan, hari disemak kembali kehidupan di dunia dan apabila berada di Padang Mahsyar. Sesungguhnya kita dihidupkan dengan akal sempurna untuk mengimarahkan kehidupan di dunia dan akhirat.

Ketakwaan seseorang terbina apabila ilmu tauhid mantap dan betul, ibadah terpelihara, diikuti dengan akhlak mulia yang diukur daripada cara kita berinteraksi dengan Allah SWT serta manusia.

Salah satu cara menjaga interaksi dengan manusia ialah memelihara mulut atau lisan. Hakikatnya, mulut boleh menjadi punca kita ke neraka jika tidak hati-hati mengawalnya.

Wasiat Imam Ghazali, lapan dosa berpunca daripada mulut iaitu mungkir janji, dusta, mengumpat, menghina, melaknat, memuji diri sendiri, banyak berbicara atau bertengkar dan mendoakan yang buruk sesama makhluk.

Mengenai memungkiri janji dan dusta, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Ada tiga perkara yang apabila dimiliki seseorang, maka dia orang munafik, sekalipun dia melakukan ibadah solat dan puasa. Tiga perkara itu adalah apabila berjanji, memungkiri. Apabila berkata, dusta. Apabila dipercayai, khianat."

Suka bertengkar

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah sebahagian kaum mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati?" (Surah al- Hujaraat, ayat 12)

Walaupun membicarakan kenyataan yang benar mengenai seseorang, perbuatan itu tetap berdosa. Jika kita menyedari dunia hanyalah satu kehidupan sementara dan akan dibangkitkan semula di Padang Mahsyar untuk diadili, pasti kita tidak berani membuat perkara mendatangkan dosa.

Orang yang tidak meningkatkan akidah, ibadah dan akhlak, kita dapat melihat mereka percaya kepada Allah SWT tetapi tidak melaksanakan solat. Ada yang percaya kepada Allah SWT, bersolat dan mengerjakan semua suruhan-Nya tetapi tidak berakhlak pula.

Menurut Imam Ghazali, bertengkar mulut dengan orang bodoh akan menimbulkan musuh yang sentiasa menyakitkan hati sementara bertengkar dengan orang arif tiada manfaat selain menyakitkan hati sendiri.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barang siapa meninggalkan bertengkar lisan dan dia berada dalam kedudukan yang salah, maka Allah membangunkan rumahnya untuknya di sekitar syurga; dan barang siapa meninggalkan bertengkar lisan sedang dia berada dalam kedudukan yang benar, maka dibangunkan untuknya sebuah rumah oleh Allah di syurga."

Oleh itu, tinggalkan sikap suka bertengkar dan mendoakan yang buruk sesama makhluk, sebaliknya semaikan sikap suka berkasih sayang dan saling mendoakan kebaikan.

Aura hati

Binalah aura positif supaya kita disenangi orang Aura ialah suasana atau perasaan halus yang menyelubungi diri bermula dari hati. Aura diri boleh dibina atau dibentuk daripada negatif menjadi positif. Hati yang negatif menghasilkan aura negatif manakala sikap dan tingkah laku positif menghasilkan aura positif.

Sifat positif yang memenuhi kerohanian seseorang itu akan terpancar gambaran kesuciannya di wajah. Orang yang bersih dan tenang hatinya ialah orang yang beraura positif, wajahnya terpancar aura positif kerana senyuman sentiasa menjadi hiasan.

Mereka yang memiliki aura positif mempunyai keyakinan diri dan mudah mesra atau berasa selesa dengan orang lain. Malah, mereka boleh menjadi inspirasi kepada yang lain dengan sikap mudah didekati dan disenangi.

Imej terpancar pada wajah adalah undang-undang getaran atau gelombang jiwa yang kita hantar kepada orang lain. Justeru, siapa dunia dalamannya cantik, akan terpelihara dunia luarannya termasuk mulut yang menjadi punca permasalahan kepada manusia.

Banyak yang sibuk mencari cara mencantikkan diri tetapi tidak ramai mencari kecantikan dalam diri. Sebenarnya, yang lebih penting pada diri seseorang adalah kecantikan dalam diri terutama budi bahasa serta pertuturan yang menambat hati.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya." (Surah Ibrahim, ayat 24-25)

Lima peringkat

Lima peringkat kehidupan yang perlu dijaga bagi membina aura positif. Pertama, menjaga keterampilan diri dari segi fizikal dengan menjaga kesihatan. Kedua, menjaga kecerdasan minda, dengan banyak memanfaatkan masa mencari ilmu, membaca serta menghadiri majlis ilmu.

Ketiga, menjaga hubungan dengan Yang Maha Pencipta (Allah), buat segala suruhan-Nya dan tinggalkan larangan-Nya. Keempat, menjaga kewangan kerana apabila kewangan mantap, kita boleh membuat banyak kebaikan dan membahagiakan orang lain.

Kelima, menjaga hubungan dan hormat dengan semua makhluk Allah SWT. Sentiasa fikir apakah manfaat yang boleh kita beri kepada orang, bukan apakah manfaat yang boleh kita dapat daripada orang lain.

Jaga perkataan yang terbit dari mulut kerana itu punca perbalahan seperti pepatah Melayu mengatakan, 'Kerana mulut badan binasa' dan 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.'

Penulis adalah Pakar Motivasi dan Pakar Bedah Mata

149 dibaca
Berita Harian X