Selasa, 23 Mei 2017 - 1:09PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Mangsa bencana hargai khidmat sukarelawan

Oleh Profesor Dr Azizi Ayob

KOTAK makanan diagihkan sukarelawan bantuan kemanusiaan kepada pelarian perang di al-Ghuzlaniyah, Syria. - Foto hariz mohd

PELBAGAI bentuk bantuan kemanusiaan untuk membantu mangsa bencana alam, kemalangan dan mangsa peperangan diberikan segenap lapisan masyarakat di negara kita. Orang awam sebagai sukarelawan bersama-sama dengan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit dalam menjayakan aktiviti ini sepanjang tahun, sama ada mangsa dan bencana berlaku itu dalam atau luar negara.

Bantuan termasuk menyediakan makanan dan minuman, pakaian, kewangan, kesihatan dan perubatan, khidmat kaunseling, kepakaran menyelamat, bantuan perlindungan dan tempat tinggal. Bantuan kemanusiaan bermaksud beberapa bentuk bantuan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan logistik kepada mangsa bencana yang memerlukan.

Bantuan perlu sampai ke tempat bencana pada kadar segera. Bantuan biasanya bersifat sementara hingga digantikan bantuan secara berkala oleh pihak berwajib atau agensi bantuan dalam jangka panjang.

Bantuan perubatan pula ialah perkhidmatan perubatan khusus untuk rawatan kes ringan yang kurang serius akibat bencana di tempat berlakunya bencana. Namun, sesetengah pasukan perubatan mempunyai klinik dan bilik bedah bergerak serta fasiliti lebih canggih untuk tangani kes berat.

Tujuan utama bantuan kemanusiaan dan perubatan adalah menyelamatkan nyawa, meringankan penderitaan dan membantu mangsa dari segi psikologi. Saya ingin berkongsi pengalaman peribadi dalam beberapa misi bantuan kemanusiaan dan perubatan sebelum ini. Pengalaman ini sangat berguna untuk memantapkan kemahiran menguruskan misi, pasukan bantuan, dan juga memastikan bantuan diterima oleh mangsa bencana.

Sanggup korban masa

Kita perlu menggalakkan semua pihak bersama-sama menghulurkan tangan dalam misi bantuan perubatan bagi mencapai matlamatnya. Justeru, ciri-ciri utama sukarelawan yang sering terbabit adalah individu sihat, sanggup menyediakan masa dan berkorban wang ringgit. Berdasarkan pengalaman lalu, ramai secara sukarela sanggup menyediakan belanja sendiri untuk menyertai misi sebegini terdiri daripada pelbagai latar belakang sama ada golongan profesional atau tidak. Kesanggupan rakyat Malaysia ini perlu dihargai tanpa mengenal bangsa, umur dan agama.

Jadi, saya rasa bertuah kerana berpeluang menyertai pelbagai bentuk bantuan perubatan dan kemanusiaan dianjurkan bersama NGO perubatan dan kesihatan dikenali sebagai I-MEDIK (Ikatan Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia), Yayasan Ikhlas, Aman Palestin, ISMA dan pelbagai NGO lain sejak 2000.

Setiap petugas bantuan dan sukarelawan akan terlebih dahulu didedahkan dengan latihan asas tugasan dan perlu memahami tujuan misi. Sesetengah misi bantuan tidak terlepas daripada menghadapi risiko kemalangan dan kecederaan terutama apabila pasukan bantuan perlu ke tempat bencana yang masih tidak stabil kedudukannya. Ini terutama berlaku pada fasa banjir besar, gempa bumi dan medan perang.

Pelajari pengalaman baharu

Anggota pasukan bantuan sentia- sa mempelajari suatu pengalaman baharu dalam mengurus bantuan sebegini. Setiap bencana pada dasarnya membabitkan perbezaan pada suasana dan sifat bencana juga dikenali nature of disaster dan juga kesan trauma pada mangsa. Tahap kesihatan mental dan psikologi mangsa yang terbabit juga perlu diambilkira. Mangsa sentiasa dalam keadaan tertekan dan kebanyakannya perlu berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Aktiviti ketika bantuan perubatan termasuk penyediaan perkhidmatan perubatan di tempat kejadian atau bencana dengan menggunakan konsep 'klinik bergerak' supaya pasukan perubatan boleh sampai ke tempat yang agak susah apabila berlaku bencana disebabkan jalan dan sistem komunikasi terputus serta tidak berada pada keadaan sempurna.

Bentuk perkhidmatan yang disediakan ketika misi ini tertumpu kepada kes ringan sahaja yang memerlukan rawatan segera, dan ubat-ubatan. Ada di kalangan mangsa juga memerlukan perkhidmatan kaunseling bersifat 'post-trauma'. Bagi kes kecemasan atau kemalangan serius, pastinya pesakit diminta terus dirujuk ke klinik atau hospital berdekatan.

Cuma suasana di tempat berlaku bencana seperti banjir besar, tanah runtuh, gempa bumi biasanya mangsa yang terbabit tidak mampu mengutamakan kesihatan mereka. Mereka terpaksa mendahulukan keselamatan nyawa keluarga dan orang di bawah tanggungjawab serta harta mereka. Melihat kepada suasana cemas sebegini, keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat perlindungan, menjadi keutamaan. Jadi, penyediaan perkhidmatan perubatan ke tempat mangsa ini sangat dinantikan mangsa.

NGO tempatan seperti I-MEDIK, Aman Palestin dan Yayasan ikhlas telah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak dalam menjayakan beberapa misi antarabangsa di negara luar. Anggota dan ahli I-MEDIK adalah pakar perubatan dan kesihatan, doktor, doktor gigi, ahli farmasi, jururawat, dan ahli kesihatan bersekutu serta pembantu perubatan yang sememangnya terlatih dalam pelbagai prosedur perubatan dan rawatan.

Pembabitan mereka dalam misi antarabangsa luar negara termasuk ke Gaza, Palestin; Ambon, Aceh; sempadan Bangladesh dan Myanmar. Demi melestarikan budaya sukarelawan ini, semua pihak perlu berpimpin tangan dan berganding bahu supaya mangsa bencana dapat diselamatkan dan mendapat bantuan sewajarnya.

Mari kita sama-sama menjayakan misi bantuan kemanusiaan dan perubatan pada bila-bila masa. Sumbangan sukarelawan dipandang tinggi setiap mangsa yang sentiasa menunggu bantuan dari segi sudut fizikal mahupun emosi.


Trending

    Disyorkan