Sabtu, 15 April 2017 | 8:28am

Usah layan pihak suka buat spekulasi

SEBAIK sahaja pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, maka bermulalah pemikiran pihak pembangkang yang begitu licik dan kreatif dalam membuat andaian yang sangat negatif. Golongan ini terus buat persepsi bahawa kedudukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan goyah dengan pelantikan itu.

Satu demi satu teori yang dikemukakan dan semuanya mempunyai agenda sama iaitu ingin lihat kombinasi mantap Najib dan timbalannya, Ahmad Zahid kononnya berada dalam keadaan sangat kritikal.

Ada tohmahan menyatakan usaha ini laluan kepada Hishammuddin terus maju dan pada masa sama menyisihkan Ahmad Zahid. Mereka yang buat andaian seperti ini begitu yakin terdapatnya pergeseran antara Najib dan Ahmad Zahid.

Perlu diingatkan, permainan andaian, persepsi dan melontar fitnah seperti ini bukan sesuatu yang baharu di negara kita. Najib dan Ahmad Zahid sendiri pernah jadi mangsa dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Walaupun semua isu dikaitkan dengan fitnah sudah dijelaskan, namun pihak pembangkang terus guna isu ini untuk berlagak kononnya menjadi wira negara.

Mantapkan kepemimpinan

Dalam permainan bola sepak, pertukaran taktik oleh jurulatih atau pengurus ketika berlangsungnya perlawanan sesuatu yang biasa. Mungkin tidak tepat untuk dibandingkan dengan apa yang berlaku dalam padang dengan urusan pentadbiran negara. Namun, apa dilakukan oleh Najib sebenarnya ialah melicinkan lagi barisan kepemimpinan yang mentadbir negara.

Mengapa isu ini dipolitikkan sehingga menimbulkan pelbagai andaian dan persepsi yang negatif? Dalam hal ini, setiap langkah Najib dan Ahmad Zahid akan diteliti pihak musuh. Dan walaupun langkah yang diambil itu sesuatu yang positif, namun di mata pembangkang, akan terus buat kesimpulan bahawa langkah ini sebenarnya menggambarkan gandingan Najib dan Ahmad Zahid sedang bermasalah.

Begitulah terdesaknya pihak pembangkang yang semakin hari semakin ketandusan idea untuk menyerang kepemimpinan Najib dan dibantu Ahmad Zahid yang sudah terbukti begitu berkesan dalam mentadbir negara ini.

Perlu diingatkan juga bahawa Ahmad Zahid bukan sehari dua ini mengenal Najib. Hubungan kerja antara beliau dengan Najib sudah lama terjalin kerana pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Najib ketika Najib memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pertahanan mulai 1986 sehingga 1993. Itu sebabnya juga kesetiaan Ahmad Zahid jangan dipersoalkan.

Sekali lagi diingatkan, apa yang penting isu ini jangan dipolitikkan. Bahkan Hishammuddin menegaskan, Ahmad Zahid juga sudah membuat kenyataan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai pelantikan itu.

Bantu PM perkasa negara

Hishammuddin menjelaskan lagi, pelantikan itu peluang untuk bersama Ahmad Zahid membantu Perdana Menteri mentadbir dengan lebih berkesan.

Seperti dijelaskan, pihak pembangkang akan lihat isu ini dari perspektif negatif. Sebenarnya musuh UMNO dan Barisan Nasional begitu bimbang melihat pertukaran taktikal ini akan mematikan langkah mereka. Itu sebabnya isu ini dipolitikkan dengan sewenang-wenangnya agar rakyat terpedaya dengan fitnah yang akan mereka lemparkan.

Biarkan pihak pembangkang bermain dengan permainan mereka. Biarkan tohmahan dan fitnah menjadi senjata utama mereka untuk menyerang. Apa yang penting gandingan kepemimpinan yang ada perlu terus disokong agar terus dapat beri yang terbaik kepada rakyat Malaysia.

Berita Harian X