Sabtu, 15 April 2017 | 7:01am

Tiguan 1.4L TSI lebih besar, premium


DUA varian baharu sarat dengan teknologi terkini.

BH Auto berkesempatan memandu uji Tiguan generasi kedua dari Bangsar ke Ipoh sebelum pelancaran rasminya Rabu lalu.

Dua varian Tiguan diperkenalkan di pasaran Malaysia, Comfortline dan Highline. Kedua-dua varian dipasang di kilang pemasangan Volkswagen milik DRB-Hicom di Pekan, Pahang.

Kedua-dua varian Kenderaan Sports Utiliti (SUV) pacuan roda hadapan itu menggunakan enjin turbocharger 1.4L TSI yang mampu menghambur kuasa 150PS kuasa kuda dan 250Nm tork pada putaran enjin antara 1,500 hingga 3,500rpm.

Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) itu dipadankan dengan kotak gear klac basah transmisi anjakan terus (DSG) 6-kelajuan.

Volkswagen mendakwa penggunaan bahan api yang jimat iaitu hanya 6.7 liter bagi 100 km (14.9 km/l).

Berbanding Tiguan generasi pertama, Tiguan baharu ini lebih besar saiznya, iaitu 60 mm lebih panjang dan 30 mm lebih lebar. Bagaimanapun, ia 33 mm lebih rendah dan lebih ringan.


SISTEM paparan sesentuh boleh di naik taraf kepada fungsi App Connect untuk Apple CarPlay dan Android Auto.

SKRIN sesentuh 8 inci. - Foto Saddam Yusoff

Ruang tempat letak barang pula boleh memuatkan 615 liter, 145 liter lebih besar berbanding model sebelum ini. Ruang boleh diluaskan lagi kepada 1,655 liter dengan merebahkan tempat duduk bahagian belakang.

Perjalanan BH Auto ke Ipoh dimulakan dengan varian Highline.

Rekaan dalaman Tiguan Highline masih mengekalkan standard seperti model premium Volkswagen lain dengan tahap keselesaan dan kemewahan berkualiti, seperti kemasan kulit Vienna dan Paparan Info Aktif skrin sesentuh lebih besar 12.3 inci.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia Sdn Bhd (VPCM) menyatakan, sistem paparan sesentuh itu boleh di naik taraf kepada fungsi App Connect untuk Apple CarPlay dan Android Auto pada harga promosi RM699 (berbanding harga asal RM1,099).

Sistem pendingin hawa pada Highline dibahagikan kepada 3-zon (kiri, kanan dan penumpang belakang), selain kamera undur bagi kemudahan pemandu.

Tiguan Highline diperkemaskan dengan roda aloi 18 inci, roof rail warna krom dan lampu LED hadapan dengan DRL LED lengkap fungsi Dynamic Cornering Assist. Pintu but pula boleh dibuka menggunakan kuasa elektrik.


TIGUAN generasi baharu itu bakal memberikan persaingan sengit kepada pesaingnya.

Ia sebuah kereta yang mudah dipandu. Volkswagen tersohor dengan kualiti pengendaliannya. Ini memang sudah dijangkakan. Memasuki lebuh raya, pemanduannya lancar.

Namun, mungkin disebabkan saiz enjinnya yang kecil, kami berasa kurang selesa memandu lebih daripada 160 km/j.

Ujian sebenar ialah di jalan berliku, yang mana pemanduan menghala ke Kuala Dipang membuktikan ketangkasan Tiguan baharu ini. Kami mendapati olengan badan terkawal manakala stering berkuasa elektrik begitu responsif.

Sistem komputer pada SUV itu menghalang roda hadapan daripada 'membuang' atau tersasar bila dipecut awal semasa keluar daripada selekoh tajam.

Bagi Comfortline, bahagian luaran varian paling asas itu tidak banyak bezanya dengan varian Highline, kecuali roda aloi lebih kecil bersaiz 17 inci diberikan. Roof rail berwarna hitam dan kemasan krom hadapan yang sedikit berlainan.

Kabin dilengkapi tempat duduk fabrik, skrin sesentuh 8-inci, corong pendingin udara di belakang dan meja lipat di belakang setiap tempat duduk hadapan.


TEMPAT duduk fabrik dan meja lipat di belakang tempat duduk. - Foto Saddam Yusoff

Kami juga diberi peluang memandu uji tiga jenis SUV jenama Jepun, iaitu CR-V, X-Trail dan CX-5 sebagai perbandingan, dan kami berpendapat Tiguan generasi baharu itu bakal memberikan persaingan sengit kepada pesaingnya.

Pakej yang ditawarkan VPCM termasuk waranti kilang lima tahun (berbanding program 3+2 tahun sebelum ini) dengan lima tahun bantuan tepi jalan percuma. Jarak tempoh servis ialah 15,000 km.

Sebagai bonus tambahan kepada pembeli, VPCM akan menawarkan diskaun RM7,000 untuk pelanggan terawal dalam jumlah terhad.

Ia ditawarkan pada harga sebelum pendaftaran RM148,990 seunit bagi varian Comfortline dan RM168,990 bagi Highline.

Ia didatangkan dalam lima warna iaitu putih (Pure White), hitam (Deep Black), biru (Atlantic Blue), perak (Tungsten Silver) dan kelabu (Indium Grey).


PANEL meter.

MENGGUNAKAN enjin turbocharger 1.4L TSI. - Foto Saddam Yusoff

INFO
Tiguan Generasi ke-2

  • Varian Highline (RM168,990)
  • Varian Comfortline (RMRM148,990)
  • Penggunaan bahan api
  • 8.6 l/100km (di kawasan bandar)
  • 5.6 l/100km (di luar kawasan bandar)
  • 6.7 l/100km (gabungan)
  • Pecutan 0-100km/j dalam 8.9 saat
  • Kelajuan maksimum 198km/j
235 dibaca
Berita Harian X