Jumaat, 14 April 2017 | 6:35pm

Lelaki ditahan keluar kenyataan jelik kepada TMJ


KETUA Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki di Kepala Batas, Pulau Pinang, pagi tadi yang dipercayai membuat kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Institusi Diraja Johor menerusi laman Facebook (FB).

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek berusia 26 tahun, ditahan pada jam 9.30 pagi tadi dengan kerjasama polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.

Katanya, ia susulan satu laporan diterima oleh Polis Kontinjen Johor pada 4 April lalu, jam 7.30 malam berhubung satu kenyataan jelik yang dimuatnaik di aplikasi FB terhadap Tunku Ismail dan Institusi Diraja Johor.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan sekiranya disabitkan kesalahan mengikut seksyen ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Suspek juga akan ditahan reman selama empat hari bermula esok.

Wan Ahmad Najmuddin turut menasihatkan semua pengguna media sosial supaya berhati-hati dalam membuat sebarang komen atau mengeluarkan kenyataan untuk tidak menyakitkan hati, menyentuh sensitiviti serta boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan media sosial dan didakwa mengikut undang-undang sedia ada.

134 dibaca
Berita Harian X