Selasa, 25 April 2017 - 4:56AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Agenda Trump guling Assad, sekat Russia

Oleh Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani


DONALD Trump.- Foto REUTERS

MINGGU lalu dunia dikejutkan dengan serangan senjata kimia yang diharamkan oleh rejim kerajaan Bashar Al-Assad di wilayah Idlib yang diduduki pelarian dan puak pemberontak.

Serangan itu dikritik oleh masyarakat antarabangsa kerana ia adalah satu jenayah perang yang mengorbankan puluhan orang awam khususnya kanak-kanak dan wanita di wilayah berkenaan.

Lantas dua hari selepas serangan itu, tentera udara Amerika Syarikat (AS) bertindak melancarkan serangan udara melalui 59 peluru berpandu Tomahawk dari kapal tentera laut USS Ross and USS Porter ke atas kedudukan tentera Assad yang dikatakan tempat pelancaran serangan senjata kimia itu.

Namun, serangan senjata kimia oleh rejim Assad ini bukanlah baharu, malah taktik sama pernah dilakukan sebelum ini ke atas kawasan lain yang didiami pemberontak.

Persoalannya kenapa serangan rejim Assad kali ini mendapat reaksi berbeza berbanding reaksi AS sebelum ini? Faktor utama serangan AS kali ini mungkin disebabkan oleh perubahan kepemimpinan yang berlaku di Washington. Presiden AS sebelum ini Barack Obama yang popular dalam kalangan masyarakat antarabangsa lebih memberikan tumpuan campur tangan di konflik Syria ini dengan memerangi golongan Daesh yang cuba menguasai wilayah Syria hinggalah ke Iraq.

Serangan AS bersama sekutunya dan juga dengan bantuan Russia dapat melemahkan kedudukan Daesh. Namun, ia secara tidak langsung memperkuatkan kekuatan tentera rejim Assad di Damsyik. Donald Trump sebagai Presiden AS yang baru pula, kurang popular di peringkat dunia termasuk dalam kalangan sekutunya di Eropah dan Asia. Trump melihat ada peluang untuk beliau diterima masyarakat global sekiranya campur tangan di dalam konflik di Syria dengan membawa mesej kemanusiaan.

Serangan AS terhadap kedudukan tentera rejim Assad dilihat sebagai satu bentuk perubahan dasar Washington yang kini mula menggugat kedudukan pemerintah Syria dan bakal memperkuatkan golongan pemberontak yang juga sedang bercakaran sesama sendiri seperti Jabhat Fateh al-Sham dan Tentera Pembebasan Syria.

Wujudnya agenda serampang dua mata yang dilakukan AS di dalam serangannya ke atas Syria kali ini iaitu membawa agenda perubahan rejim di Damsyik dan mengurangkan pengaruh Russia di Asia Barat. Russia adalah negara yang menyambut baik akan kemenangan Trump di dalam Pilihan Raya Presiden AS yang lalu.

Malah, banyak pihak melihat hubungan di antara AS dan Russia akan lebih merancak dengan komunikasi langsung antara Trump dan Presiden Russia, Vladimir Putin. Namun, mengikut laporan akhbar The Washington Post pada 9 April lalu, AS telah secara terbuka mendesak Russia untuk menarik balik sokongan Kremlin ke atas rejim Assad.

AS melihat rejim Assad sebagai batu penghalang kepada keamanan di Syria. Malah, rejim Assad juga mendapat sokongan Iran, musuh utama AS di Asia Barat. Bagi AS, untuk menamatkan krisis di Syria, rejim Assad perlulah digantikan.

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson yang dijangka akan melawat Moscow pada minggu ini menjelaskan bahawa Russia harus memikirkan secara berhati-hati selepas ini sekiranya ingin meneruskan sokongan mereka ke atas Bashar kerana setiap serangan yang tidak berperikemanusiaan rejim Assad akan terpalit kepada Russia yang menyokong rejim terbabit.

Sokong tindakan AS

Tidak hairanlah Arab Saudi dan Jordan yang bencikan rejim Assad memberikan sokongan kepada tindakan AS menyerang Syria. Sokongan negara Eropah khususnya United Kingdom, Perancis dan Jerman ke atas serangan AS ini juga menunjukkan sikap Eropah yang bimbang akan perluasan pengaruh Russia di Asia Barat.

Russia telah menempatkan ketumbukan tentera mereka di Syria untuk membantu rejim Assad. Malah, AS juga menuduh sedikit sebanyak serangan senjata kimia yang dilakukan rejim Assad disumbangkan oleh Russia yang terus mendokong dan menyokong tindakan tentera Assad. Perluasan pengaruh Russia di Asia Barat juga membimbangkan AS yang mahukan dirinya terus dominan di rantau itu dan tidak mahu Moscow menjadi kuasa alternatif yang boleh menggugat pengaruh Washington.

Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov kecewa akan tindakan AS di Syria yang dilihat boleh menjejaskan hubungan di antara AS dan Russia. Malah, Russia menganggap serangan AS itu sebagai serangan ke atas sebuah negara dan kerajaan yang berdaulat. Tambahan lagi, rejim Assad juga menuduh AS sudah mula menyokong Daesh di Syria.

AS lantas mengherdik Russia mengatakan bahawa rejim Assad telah hilang legitimasi atau keabsahan sebagai sebuah kerajaan yang sah setelah dengan tanpa belas kasihan membunuh warganegara sendiri yang menentang beliau. Apa yang pasti, AS dan masyarakat antarabangsa kecewa akan tiadanya langkah menyelesaikan konflik Syria yang telah memakan korban seramai 400,000 jiwa setakat ini.

Isu pelarian Eropah yang berpunca daripada konflik ini juga memerlukan penyelesaian pantas kerana beban yang harus dipikul negara Eropah. Israel sebagai sekutu AS di bawah Trump pula bimbang Russia akan bertindak balas kepada sekutu AS di Asia Barat itu.

Akhbar Haaretz bimbang Russia akan batalkan perjanjian dengan Israel dan menyokong tuntutan Palestin. Hakikatnya, Syria yang terus berkonflik akan memberi jaminan kekuatan kepada Israel. Yang terus menjadi mangsa adalah rakyat Syria, menderita di bumi sendiri dan menjadi pelarian di serata dunia tanpa pembelaan.


Trending

    Disyorkan