Rabu, 28 Jun 2017 - 6:42PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Mandat wasatiyyah iltizam dasar negara

Oleh Khairudin Mohd Zain

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ahli Parlimen Jeli bersama sebahagian pelajar IPTA anak Kelantan yang menyertai kem kepemimpinan khas bertemakan 'Wasatiyyah Membentuk Pemimpin Masa Depan' di Jeli pada Februari 2015. - Foto Mohamed Sahidi Yusoff

PADA 2015, majalah terkenal Foreign Affairs menerbitkan satu artikel yang agak menarik bagi menerangkan asas penting kejayaan diplomasi abad ke-21, diasaskan kepada laporan khas Diplomacy for the 21st Century: Embedding a Culture of Science and Technology Throughout the Department of State.

Tanpa berselindung, artikel dan laporan khas itu memberi bayangan bahawa Amerika Syarikat (AS) wajib menjadikan bidang 'sains dan teknologi' sebagai asas penting kejayaan diplomasi abad baharu. Pelbagai cadangan diberi, termasuk memastikan kalangan pegawai kedutaan AS di seluruh dunia mempunyai kepakaran khas dalam bidang sains dan teknologi.

Penulis tidak pasti sama ada budaya diplomasi berasaskan sains dan teknologi ini masih penting di bawah pimpinan Presiden Donald Trump. Namun, itulah asas dicadangkan pada ketika itu. Pembudayaan budaya dan kerangka fikir sains dan teknologi dikatakan menjadi asas diplomasi abad baharu ini.

Pada masa sama, sekumpulan ahli fikir lain mengetengahkan idea mengenai diplomasi pintar, menggariskan kemampuan digital sebagai teras paling utama. Kepada kumpulan ini, kemampuan sesebuah negara membangun kapasiti dan kemampuan digital akan lebih mampu mendorong strategi diplomasi dinamik dan progresif.

Malaysia, pada hakikatnya tidak mempunyai defisit langsung dalam bidang diplomasi. Hubungan Malaysia, baik dengan negara tetangga, rakan serantau - mahupun di pentas antarabangsa sememangnya cukup membanggakan. Ke mana sahaja Malaysia pergi, kewibawaan dan kebolehpercayaan masyarakat antarabangsa terhadap potensi sebenar Malaysia tidak pernah surut dan luntur.

Baik dalam kalangan kuasa besar (India, China dan yang lain), mahupun negara Islam (Arab Saudi dan dunia Islam lain); nama Malaysia punya kekuatan dan keupayaan luar biasa. Aura positif diplomasi ini pastinya diasaskan oleh pendekatan 'kesederhanaan' atau 'wasatiyyah' dalam semua perkara.

Strategik, tepat

Secara peribadi, penulis menganggap langkah mengangkat 'wasatiyyah' sebagai dasar negara - adalah daya upaya strategik dan tepat. Kekuatan dan kemampuan Malaysia dalam bidang 'digital', mahupun kekuatan lainnya, wajar juga dilengkapi dengan falsafah Islam sederhana dan progresif.

Pimpinan Malaysia pada suatu ketika cukup dikenali sebagai peneraju kepada konsep Gerakan Kesederhanaan Global. Maka, tidak menjadi satu kejanggalan, prinsip 'wasatiyyah' dan kesederhanaan menjadi akar kepada gagasan itu.

Hakikatnya, Malaysia sememangnya dikenali sebagai oasis kesederhanaan. Walaupun mungkin wujud juga gugatan dan ancaman radikalisme dan ekstremisme, secara keseluruhannya - Malaysia masih lagi negara mencintai kedamaian dan kesejahteraan.

Manhaj Malaysia - tidak dikenali dengan sikap ekstrem, taksub dan militan. Budaya dan tasawwur kita, selamanya berasaskan prinsip kesederhanaan dan keseimbangan.

Untuk mengangkat 'wasatiyyah' sebagai dasar negara, ia satu komitmen dan kesungguhan luar biasa. Pembuktian yang jali, bahawa ini bukan satu usaha bersifat slogan dan kosong. Lebih molek dan elok, Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), sebagai badan utama diamanahkan menyebarluas faham wasatiyyah - turut menentukan beberapa bidang strategik yang akan diberikan perhatian.

Perkasa wasatiyyah

Ini termasuk, keperluan memperkasa wasatiyyah dalam bidang: Pendidikan dan Belia, Ekonomi dan Pembangunan, Pentadbiran dan Perundangan, Perpaduan dan Sosial, Politik dan Kenegaraan serta Keselamatan dan Pertahanan.

Penulis yakin dan percaya, dengan kesungguhan dan keazaman yang betul, agenda 'wasatiyyah' boleh menjadi cara hidup dan jalur fikir perdana dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sekiranya ini berjaya dilakukan, dengan sendirinya, ancaman liberalisme, radikalisme dan terorisme dapat ditangani dengan cukup tuntas.

Ini bukan soal kurang percaya dengan 'spektrum perundangan' yang ada. Kesungguhan dan kepantasan pihak berkuasa menangani cabaran keselamatan amat kita sanjung tinggi. Namun begitu, pada masa sama, 'pertembungan idea dan pemikiran' mesti juga diperhebat pada setiap masa.

Kalangan penggerak, pemikir dan aktivis wasatiyyah, mestilah kalangan mereka yang sedia menggunakan media baharu dalam era digital ini. Kelompok sasar iaitu generasi muda mesti diberi pendedahan mengenai pendekatan asas wasatiyyah iaitu kesederhanaan, keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan.

Kita sama sekali tidak boleh nafi kehakikian bahawa pemikiran militan dan terorisme yang didalangi Daesh masih mempunyai pengikut pada peringkat antarabangsa. Serangan terhadap dua gereja koptik di Mesir memberi contoh Daesh masih mempunyai pengikut yang boleh melakukan apa sahaja.

Ancaman radikalisme dan terorisme tidak boleh dipandang enteng dan mudah. Pendekatan dan fahaman 'wasatiyyah' mesti sama pantas menggunakan media alternatif dalam menyampaikan makna dan nilai sebenar yang mahu disampaikan.

Sebagai kesimpulan, langkah memperdana pendekatan 'wasatiyyah' sebagai iltizam dan dasar negara sememangnya tepat dan kena pada masa.

Usaha berlipat ganda mesti dilakukan dalam memastikan pendekatan pertengahan ini mampu dihadam baik oleh kumpulan sasar.


Trending

    Disyorkan