Khamis, 13 April 2017 | 5:06pm

Samsung jamin Galaxy S8 selamat


PRA-tempahan bagi telefon pintar Galaxy S8 keluaran Samsung Electronics Co Ltd mengatasi model terdahulu, S7. - Foto AFP

SEOUL: Pra-tempahan bagi telefon pintar Galaxy S8 keluaran Samsung Electronics Co Ltd mengatasi model terdahulu, S7, kata Ketua Mudah Alih Samsung, Koh Dong-jin.

Katanya, ia sekali gus menunjukkan ramai pengguna tidak terpengaruh dengan masalah telefon pintar Galaxy Note 7 yang sering terbakar tahun lalu.

Katanya, permintaan awal yang kukuh bagi S8 adalah menggalakkan bagi sebuah firma yang baru pulih daripada masalah kegagalan keselamatan produk terburuk dalam sejarah teknologi.

Masalah itu membawa kepada penamatan segera pengeluaran Note 7.

Telefon pintar baharu itu menerima reviu menggalakkan menjelang penjualannya di Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada pada 21 April ini.

Beberapa pelabur dan penganalisis sudah pun mengunjurkan rekod jualan bagi syarikat Korea Selatan itu.

"Masih terlalu awal, namun maklum balas awal kepada pra-tempahan yang sudah bermula di beberapa tempat seluruh dunia adalah lebih baik daripada jangkaan," katanya dalam satu taklimat media.

Beliau berkata, Galaxy S8 adalah telefon pintar Galaxy paling selamat setakat ini, berikutan pelbagai langkah yang diambil bagi mengelakkan kegagalan bateri yang menyebabkan beberapa unit telefon Note 7 secara tiba-tiba meletup.

Penganalisis berkata, jualan Galaxy S8 yang kukuh dijangka membantu Samsung mencatatkan keuntungan suku tahunan terbaiknya bagi tempoh April-Jun, selain pasaran cip memori yang dijangka menjana pendapatan tertinggi tahun ini bagi industri keseluruhannya.

Reuters

102 dibaca
Berita Harian X