Khamis, 13 April 2017 | 6:05am

Politik retorik tak goncangkan Sabah

PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang di war-warkan akan diadakan tahun ini mendorong parti politik merangka strategi menyediakan jentera pilihan raya bagi memastikan kemenangan.

PRU-14 didapati turut mengalih perhatian kepada politik Sabah kerana seorang tokoh politiknya, Datuk Seri Shafie Apdal, kini bersama parti pembangkang menentang Barisan Nasional (BN).

Timbul persoalan apakah BN kali ini mampu mengekalkan 22 kerusi Parlimen di Sabah? Shafie yang menerajui Parti Warisan Sabah dilaporkan menjelajah seluruh Sabah dan menuduh negeri itu masih mundur kerana kerajaan pusat tidak kisah pembangunan Sabah. Beliau turut mendakwa, harga barang keperluan kian naik, termasuk harga petrol kerana Kerajaan BN tidak cekap urus kewangan selain salah guna kuasa dan rasuah.

Namun, warga Sabah lebih yakin hanya BN mampu membantu mereka. Memandangkan hampir 42 peratus warga Sabah masih tinggal di luar bandar, mereka bukan sahaja hargai inisiatif dan sumbangan Kerajaan Pusat dalam menyediakan pelbagai kemudahan awam dan infrastruktur seperti jalan raya, elektrik, hospital, sekolah dan klinik kesihatan, malah berharap kerajaan pusat terus bantu Sabah menyediakan infrastruktur diperlukan.

Mereka percaya hanya kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri sahaja memungkinkan penyaluran peruntukan untuk membangunkan Sabah. Kerjasama ini juga menarik pelaburan asing dalam sektor swasta, khususnya projek berimpak tinggi yang menyediakan peluang pekerjaan bagi anak muda Sabah. Warga Sabah juga menghargai keprihatinan kerajaan persekutuan menyediakan aset keperluan ESSCOM dari semasa ke semasa dalam mempertingkatkan keselamatan Sabah.

Begitu juga dengan usaha kerajaan Persekutuan melaksanakan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, yang dijangka siap menjelang 2022, meliputi jarak lebih 1,090 kilometer, menghubungi Sarawak dan Sabah dengan anggaran kos RM27 bilion. Projek ini dijangka bukan sahaja akan mempertingkatkan akses dan jalinan di antara wilayah, malah jaringan jalan raya itu mampu merangsang pertumbuhan ekonomi seterusnya membantu memacu pembangunan negeri.

Warga Sabah menganggap Shafie mendendangkan lagu dan irama lama parti pembangkang dalam pilihan raya lalu, kononnya negeri itu kaya dengan minyak tetapi rakyatnya miskin dan mundur. Kemenangan BN dalam pilihan raya lalu membuktikan dakwaan berkenaan sukar diterima.

Royalti minyak naik

Berhubung royalti minyak, PETRONAS masih sediakan royalti minyak seperti dipersetujui dalam perjanjian kerajaan Sabah dan

PETRONAS. Malah, hasil royalti petroleum PETRONAS kepada Sabah dijangka meningkat kepada RM985 juta, peningkatan 25 peratus pada 2017 (Bajet Sabah 2017).

Di sebalik dakwaan Shafie, statistik terbaharu jelas menunjukkan peningkatan drastik pendapatan isi keluarga warga Sabah, malah lebih baik daripada beberapa negeri di Semenanjung. Kadar pendapatan purata isi rumah dan kualiti hidup warga Sabah didapati lebih baik sejak Najib ambil alih pucuk pimpinan pada 2009.

Purata pendapatan isi rumah Sabah pada 2014 adalah RM14,879 berbanding purata pendapatan isi rumah purata negara iaitu RM 6,141. Pendapatan isi rumah purata Sabah juga lebih tinggi dari Terengganu (RM4,816), Perlis (RM4,445), Kedah (RM4,478), Kelantan (RM3,715), Pahang (RM4,363), Melaka (RM4,759) dan Perak (RM4,268). Malah, pendapatan isi rumah purata Sabah (2014) meningkat 9.7 peratus.

Justeru, warga Sabah cenderung menyokong BN malah yakin terhadap kepemimpinan Datuk Seri Panglima Musa Aman, yang mampu mengurus kerajaan negeri dengan bijak, berhemah serta mampu meningkatkan kualiti hidup mereka. Tidak keterlaluan untuk merumuskan bahawa BN dijangka bukan sahaja akan mengekalkan 22 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, malah berpeluang menambah kerusi pada PRU-14.

Jadi, penentangan Shafie dari Semporna sukar menggoncang dan menggugat BN pada PRU14 seperti di heboh-hebohkan media sosial pro pembangkang. Politik Sabah kelihatan masih berpaksikan pembangunan dan bukan retorik.

Penulis :Pensyarah Komunikasi Strategik, Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak

Berita Harian X